Oleh: Mohd Raizol Ramli dan Hafiz Abd Manap
DESARU, 5 Ogos 2026 – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) sedang menganjurkan Makmal Kemenjadian Mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2026 bermula 3 hingga 4 Ogos 2026 bertempat di Desaru, Johor. Program berimpak tinggi ini merupakan kerjasama dengan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris bertujuan membentuk hala tuju baharu serta merangka strategi komprehensif bagi pembangunan bakat mahasiswa bagi tempoh lima tahun akan datang.
Landskap pembangunan mahasiswa kini menuntut peralihan drastik daripada sekadar penganjuran program berbentuk aktiviti atau penyertaan semata-mata, kepada pembinaan ekosistem yang mampan. Langkah ini penting bagi melahirkan barisan pemimpin masa hadapan yang berupaya memacu kebolehpasaran serta memberikan impak nyata kepada kemajuan negara.
Bagi mendepani cabaran masa hadapan, makmal ini menggariskan tujuh fokus strategik utama yang merangkumi Kepimpinan dan Jati Diri, Perpaduan dan Sukarelawan, Kebudayaan dan Warisan, Sukan dan Gaya Hidup Aktif, Keusahawanan, Inovasi, Kreativiti dan Teknologi, Pengucapan Awam dan Profesionalisme dan Kebolehpasaran.

Selain fokus tersebut, empat isu rentas strategik turut diberi perhatian utama bagi memperkukuh agenda ini, iaitu pendigitalan ekosistem, kesejahteraan mahasiswa, pengiktirafan dan kecemerlangan mahasiswa, serta tadbir urus dan jaringan strategik.
Bagi memastikan hasil makmal bukan sekadar sesi sumbang saran biasa, para peserta menggunakan pendekatan Design Thinking yang merangkumi proses penstrukturan mendalam seperti analisis tulang ikan (Fishbone Analysis), penentuan keutamaan, dan penyusunan pelan tindakan konkrit. Matlamat akhir yang disasarkan adalah untuk menghasilkan cadangan inisiatif strategik, tindakan segera (Quick Win), Petunjuk Prestasi Utama (KPI), serta cadangan bajet yang boleh diukur secara praktikal.
Mengulas mengenai hala tuju makmal tersebut, Pengarah BHEP JPT, Encik Hirman Awang menegaskan pentingnya para peserta untuk keluar daripada kepompong pemikiran lama bagi melakukan reality check yang berani terhadap program sedia ada.
“Kita tidak akan mencipta masa depan mahasiswa jika kita masih berfikir dan beroperasi seperti masa lalu. Saya ingin mencabar semua peserta supaya tidak lagi membincangkan program yang sekadar mudah dilaksanakan, sebaliknya tumpukan kepada idea baharu, praktikal, dan berimpak tinggi yang benar-benar membentuk mahasiswa berkembang daripada sekadar peserta kepada pembina ekosistem negara,” jelas beliau.

Melalui “Piramid Kematangan Kepimpinan” yang diperkenalkan, KPT menyasarkan transformasi mahasiswa daripada sekadar penglibat peringkat penyertaan (Tahap 1) atau pelaksana program (Tahap 2), sebaliknya mereka dipacu untuk peningkatan menjadi pemimpin organisasi pada (Tahap 3) atau pemacu perubahan (Tahap 4), dan akhirnya sebagai “Pembina Negara” (Tahap 5) yang menyumbang aktif kepada agenda Malaysia MADANI.
Makmal ini menggabungkan kerjasama erat daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Timbalan Naib Canselor / Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Awam dan Universiti Swasta, Ketua Pentadbir (HEP&A), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) selaku penggerak suara mahasiswa, Yayasan Perkasa Siswa, dan BHEP JPT sebagai pemudah cara nasional.
Semua peserta makmal dicabar untuk melahirkan idea-idea yang memenuhi lima kriteria utama: baharu, praktikal, berimpak tinggi, boleh diukur, dan boleh dilaksanakan. KPT menegaskan bahawa kejayaan masa hadapan tidak lagi diukur melalui kuantiti program yang dianjurkan, sebaliknya dinilai berasaskan kualiti perubahan yang berjaya diwujudkan kepada landskap mahasiswa dan pembangunan negara secara holistik.
















