Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
Universiti Malaysia Terengganu, 16 Februari 2026: Menzahirkan komitmen strategik dan iltizam institusi dalam memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa melalui penganjuran Majlis Penzahiran Iltizam Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) 2026 yang berlangsung pada 16 Februari 2026 di Auditorium Sulaiman, Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah.

Majlis berprestij ini menjadi wadah pemantapan hala tuju HEPA berteraskan tema “Memaknai Pengalaman Mahasiswa, Memperagakan Kemanusiaan”, yang mengangkat aspirasi untuk membina ekosistem kampus yang bukan sekadar medan akademik, tetapi pengalaman ke arah pembentukan insan berintegriti, berdaya tahan dan berjiwa besar serta kukuh dengan nilai kemanusiaan. Usaha ini selari dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang mahu melahirkan mahasiswa sebagai pembina bangsa berpaksikan kemanusiaan.
Penzahiran iltizam yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), YBhg. Profesor Dr. Mohd Izani bin Mohd Zain, menegaskan bahawa pembangunan mahasiswa merupakan agenda strategik negara dan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada kerangka pembinaan masyarakat MADANI serta aspirasi pendidikan tinggi nasional. Universiti, tegas beliau, adalah medan peradaban tempat ilmu diperkasa, nilai dimuliakan dan kepemimpinan masa hadapan diasuh dengan kesedaran sosial serta kemanusiaan sejagat.

Dalam perutusan tersebut, beliau menekankan bahawa kesejahteraan mahasiswa bukan sekadar agenda kebajikan, tetapi indikator keutuhan sistem pendidikan tinggi yang berteraskan empati, akauntabiliti dan tadbir urus berimpak tinggi. Mahasiswa perlu dibentuk sebagai generasi berprinsip, berdaya saing global, celik kelestarian dan mampu memimpin transformasi dalam dunia yang semakin kompleks, dinamik dan mencabar.
Bagi tahun 2026, HEPA UMT menggariskan sepuluh fokus iltizam strategik seperti memaknai pengalaman kehidupan mahasiswa idaman, memperkukuh ekosistem pembangunan bakat mahasiswa, memperkasa kebajikan mahasiswa, mengangkat kolej kediaman sebagai pusat pembelajaran kedua, menginovasi kebolehpasaran graduan dan keusahawanan siswa, memugar kesejahteraan mahasiswa, memupuk kepemimpinan muda kelestarian dan ekonomi biru, menjenamakan semula sukan pantai dan menggiatkan kebudayaan setempat, menggembleng sinergi alumni dan mengangkat martabat dan keupayaan HEPA.
Sebagai lonjakan transformasi digital, majlis turut menyaksikan peluncaran Sistem Integrasi Maklumat Pelajar HEPA (SIPA) sebuah platform bersepadu yang memperkukuh tadbir urus berasaskan data, meningkatkan ketelusan penyampaian bantuan serta mempercepat respons institusi terhadap keperluan mahasiswa secara menyeluruh dan sistematik. Inisiatif ini selari dengan agenda pendigitalan sektor pendidikan tinggi negara ke arah sistem yang lebih cekap, telus dan berimpak.
Peluncuran Skuad Lasykar Alam@UMT menzahirkan suatu simbol komitmen universiti dalam membudayakan kesedaran kelestarian serta tanggungjawab mahasiswa terhadap alam sekitar. Skuad ini menyasarkan penglibatan 1,000 orang mahasiswa sebagai agen perubahan yang berjiwa lestari dalam aktiviti khidmat komuniti di seluruh negara.

Majlis ini turut mengangkat agenda Kebajikan dan pemerkasaan mahasiswa melalui penyerahan Sumbangan Dana Pembangunan Mahasiswa Asnaf berjumlah RM100 ribu daripada Pusat Ihsan UMT dan Dapo MAIDAM berjumlah RM570 ribu, pelantikan tiga orang felo bersekutu, penyerahan mandat pelaksanaan program berimpak tinggi HEPA 2026 serta penghargaan kepada rakan media dan agensi strategik.
Secara keseluruhannya, Majlis Penzahiran Iltizam HEPA 2026 bukan sekadar acara simbolik, tetapi deklarasi tekad institusi dalam memastikan pembangunan mahasiswa kekal sebagai nadi transformasi universiti. Ini semua tercapai melalui usaha memaknai pengalaman mahasiswa di kampus yang akhirnya membantu mereka memperagakan nilai-nilai kemanusiaan dalam diri. Sidang Redaksi HEPA mengucapkan tahniah kepada Pejabat Naib Canselor HEPA, UMT di atas pelaksanaan program yang cukup bermakna ini.












