Oleh: Muhamad Fatih Khamsani
PARIT YAANI, Batu Pahat, Kelab Kejuruteraan Awam (KKA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan Program Gerbang Inspirasi KKA 2.0 di sebuah Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Parit Yaani bagi menyantuni anak-anak autisme serta memperkukuhkan hubungan antara mahasiswa dan komuniti.
Program ini melibatkan ahli-ahli KKA bersama para pelajar PDK melalui pelbagai aktiviti interaktif, kebajikan dan keceriaan yang dirancang sepanjang program berlangsung.
Penganjuran program ini bertujuan untuk menyemai nilai empati, keprihatinan sosial dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa di samping memberikan sokongan moral kepada golongan sasaran.
Sepanjang program, peserta terlibat dalam sesi suai kenal, aktiviti interaktif, permainan berkumpulan serta aktiviti motivasi yang dirangka mengikut kesesuaian peserta PDK.
Program turut diserikan dengan penyampaian sumbangan dan barangan keperluan sebagai tanda sokongan kepada pihak PDK serta anak-anak yang terlibat.
Selain itu, aktiviti keceriaan PDK turut dilaksanakan melalui penanaman pokok bunga, kerja-kerja mengecat dinding dan pagar PDK serta mengecat tayar terpakai untuk dijadikan pasu bunga.
Inisiatif tersebut berjaya menceriakan persekitaran PDK dan mewujudkan suasana yang lebih kondusif untuk kegunaan para pelajar dan warga pusat tersebut.
Aktiviti yang dijalankan turut menggalakkan interaksi positif antara mahasiswa dan komuniti setempat. Penglibatan aktif peserta membuktikan komitmen mahasiswa dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Selain memberi pengalaman bermakna kepada anak-anak autisme, program ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk memahami cabaran yang dihadapi oleh golongan berkeperluan khas.

Melalui interaksi secara langsung, peserta dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan. Program ini juga berjaya memupuk sikap prihatin serta kesedaran tentang kepentingan menyokong pembangunan komuniti yang inklusif.
Maklum balas yang diterima daripada pihak PDK dan peserta program adalah amat positif serta menunjukkan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan.
Secara keseluruhannya, Program Gerbang Inspirasi KKA 2.0 telah mencapai objektif yang ditetapkan dan memberikan manfaat kepada semua pihak yang terlibat.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperluaskan impaknya kepada lebih ramai komuniti yang memerlukan.

Penganjuran program ini turut menyumbang kepada pembentukan graduan yang holistik, berdaya saing dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.












