Oleh: Nurul Fatin Wahidah Binti Masaludin
PARIT RAJA, 8 Jun 2026 – Kumpulan mahasiswa Alam Bina Ventures daripada Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) telah menganjurkan Program Brightsmind Socialpreneur@UTHM: Bengkel Menghasilkan Lilin Aromaterapi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading.
Program ini melibatkan sepuluh orang mahasiswa FKAAB bersama pensyarah mentor, jawatankuasa fakulti, guru-guru PPKI serta pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Program pemindahan ilmu ini diadakan bagi memperkenalkan konsep keusahawanan sosial melalui aktiviti kemahiran yang bersifat praktikal.

Bengkel tersebut telah berlangsung pada 8 Jun 2026 dari jam 8.00 pagi hingga 11.30 pagi.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Kumpulan Alam Bina Ventures sebelum diteruskan dengan sesi demonstrasi pembuatan lilin aromaterapi.
Peserta diberi tunjuk ajar secara langkah demi langkah mengenai teknik mencairkan lilin, mencampurkan pati aromaterapi serta menghias bekas lilin mengikut kreativiti masing-masing.
Selain itu, peserta turut didedahkan kepada asas pemasaran termasuk kaedah pembungkusan produk dan penetapan harga jualan.
Guru-guru PPKI dan pensyarah UTHM turut memberikan bimbingan sepanjang bengkel bagi memastikan setiap peserta dapat mengikuti aktiviti dengan baik.
Pengisian program yang berorientasikan amali ini berjaya meningkatkan keyakinan diri serta kreativiti peserta dalam menghasilkan produk sendiri.

Program ini juga memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai potensi menjana pendapatan melalui penghasilan produk kreatif.
Pihak sekolah menzahirkan penghargaan kepada UTHM atas pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada pembangunan kemahiran motor halus, sosial dan keusahawanan pelajar PPKI.
Sebelum program berakhir, semua peserta, guru, pensyarah dan penganjur mengadakan sesi bergambar sebagai kenangan. Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya mencapai objektif dalam memupuk semangat keusahawanan sosial dan memperkasa potensi pelajar secara inklusif.
Program seumpama ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti serta melahirkan mahasiswa yang berjiwa masyarakat dan berimpak tinggi.













