Advertisement

Kelab GPS USM Bawa Aspirasi Mahasiswa ke Persada Global Menerusi FEB UNPAD Summer Program 2026

Oleh : Kelab Gerakan Pengguna Siswa (Kelab GPS), Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

PULAU PINANG, 13 Ogos 2026 – Kelab Gerakan Pengguna Siswa (Kelab GPS), Universiti Sains Malaysia mengorak langkah memperkukuh keterampilan mahasiswa di persada antarabangsa menerusi penyertaan dalam FEB UNPAD Summer Program 2026 di Bandung, Indonesia yang menghimpunkan pengalaman pembelajaran rentas budaya, digitalisasi dan kelestarian menerusi tema “Beyond Digital: Culture and Sustainability for the Future”.

Program antarabangsa anjuran Fakulti Ekonomi dan Bisnis, Universitas Padjadjaran (UNPAD) dengan Pusat Pengajian Pengurusan, USM sebagai penganjur bersama itu berlangsung selama tujuh hari bermula 2 Ogos 2026, berteraskan pendekatan experiential learning yang memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kelestarian ekonomi, transformasi digital, inovasi dan pertukaran budaya, di samping memperkukuh keupayaan pelajar membina jaringan serta kepimpinan di peringkat antarabangsa.

Seramai 19 orang delegasi USM yang diiringi oleh Prof. Madya Dr. Haslindar Ibrahim selaku pensyarah pengiring serta dua pegawai pengiring, Encik Ahmad Wafi Sahedan dan Encik Hanafi Jaharudin, menyertai program yang menghimpunkan 45 peserta dari Malaysia, Indonesia, Kemboja, Jerman, Bangladesh, Pakistan, Timor-Leste dan Suriname.

Kepelbagaian latar belakang peserta tersebut sekali gus mewujudkan ruang pembelajaran rentas budaya yang dinamik dan inklusif, selain membuka peluang kepada mahasiswa untuk memperluas perspektif global, membina jaringan antarabangsa serta mengembangkan kemahiran kepimpinan, selaras dengan SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.

Sepanjang program, peserta diperkasa menerusi sesi akademik, wacana dan bengkel inovasi yang merentasi isu pembangunan masa hadapan, transformasi digital, kelestarian serta keusahawanan, di samping mengasah kemahiran Design Thinking, penyediaan Pitch Deck dan pembentangan projek bersama pakar akademik serta industri antarabangsa, sekali gus mendukung SDG 4: Pendidikan Berkualiti melalui pengalaman pembelajaran dan pertukaran ilmu di peringkat global.

Selain pengisian akademik, peserta turut menyelami kekayaan seni, sejarah, alam sekitar dan budaya Bandung menerusi pengalaman langsung di Batik Komar, Museum Asia Afrika, Kawah Putih, Jalan Braga, Kebun Teh Gambung dan Saung Udjo, sekali gus memperluas perspektif mereka terhadap kepelbagaian budaya dan kepentingan kelestarian global.

Pengalaman rentas budaya dan pembelajaran global sepanjang program ini memperkasa mahasiswa dengan perspektif luas, kepimpinan dan keupayaan menghubungkan ilmu, inovasi, digitalisasi serta kelestarian, sekali gus menyemarakkan aspirasi USM melahirkan generasi berdaya saing yang mampu mentransformasikan pengalaman antarabangsa kepada cetusan idea, tindakan dan impak yang berdaya tahan di peringkat tempatan mahupun global.

Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/