Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM NIBONG TEBAL, 19 September 2026 :- Seramai 854 daripada 1,005 pelajar baharu, termasuk pelajar antarabangsa, telah berjaya mendaftarkan diri bagi mengikuti 11 program pengajian di 6 pusat pengajian di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Sains Malaysia bagi Sidang Akademik 2026/2027.
Suasana di sekitar kampus sejak pukul 8:00 pagi meriah dengan kehadiran kenderaan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan peluang menghantar anak-anak mereka memulakan langkah pertama di menara gading.

Turut hadir menyantuni ibu bapa dan pelajar ialah Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, bersama ketua-ketua jabatan, Penyelaras, barisan Dekan, Pengarah Pusat Kecemerlangan serta pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA).
โTahniah dan selamat datang saya ucapkan kepada semua pelajar baharu yang berjaya melangkah masuk ke program pengajian kejuruteraan.
Pemilihan anda ke sini bukanlah suatu kebetulan, tetapi hasil daripada usaha gigih serta potensi besar yang ada pada diri anda,โ ujar beliau.



Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir turut mengambil perhatian terhadap masalah kewangan yang dihadapi oleh seorang pelajar, saudara Rajiv Akhiilendra A/L Supramaniam, bagi memastikan hasratnya menyambung pengajian di USM dapat direalisasikan.
Saudara Rajiv telah diterima masuk ke Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan turut disantuni menerusi penyampaian kit bantuan asas yang disampaikan oleh Ketua Unit BHEPA, Encik Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, serta seluruh warga kampus turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat datang kepada semua pelajar baharu.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada 48 orang pelajar Pembimbing Program Siswa Lestari (PPSL) yang komited membantu pihak universiti melancarkan proses kemasukan pelajar baharu pada sidang kali ini. Sebagai langkah permulaan, minggu orientasi pelajar selama seminggu akan diadakan bermula esok bagi memperkenalkan pelajar baharu kepada persekitaran kampus, sistem pembelajaran, serta lafaz ikrar pelajar sebelum kuliah rasmi bermula.













