Advertisement

Jelajah AI MyMahir Dekatkan Teknologi AI kepada 750 Peserta Dari Kalangan Mahasiswa dan Komuniti

Oleh : Mohd Izzat bin Shafie

GAMBANG, 23 Mei – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh agenda pemerkasaan teknologi digital menerusi kerjasama penganjuran program Jelajah AI MyMahir (JAM) yang dianjurkan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) bersama EY Malaysia.

Program yang berlangsung di UMPSA Kampus Gambang itu menghimpunkan seramai 750 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk mahasiswa UMPSA, pelajar sekolah, guru, usahawan, belia, suri rumah, pencari kerja serta komuniti setempat.

Gambar 1 : Antara Peserta yang turut hadir semasa program

Jelajah AI MyMahir merupakan inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan TalentCorp yang bertujuan membawa pengetahuan berkaitan kecerdasan buatan (AI) lebih dekat kepada masyarakat melalui pendekatan pembelajaran praktikal dan interaktif bagi membantu peserta memahami aplikasi AI dalam situasi sebenar.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah yang menekankan kepentingan penguasaan AI dalam mendepani perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.

Gambar 2 : Ucapan semasa sesi perasmian

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMPSA, Prof. Dr. Yatimah Alias serta Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMPSA, Prof. Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed sebagai tanda sokongan terhadap usaha pembangunan bakat dan kompetensi mahasiswa.

Gambar 3 : Penglibatan Naib Canselor & Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) semasa sesi program

Penglibatan barisan pengurusan tertinggi universiti ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkasa agenda pembangunan mahasiswa agar selari dengan perkembangan teknologi semasa dan keperluan industri.

Penganjuran program seumpama ini turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak industri serta pakar dalam bidang teknologi digital, sekali gus memperluaskan pendedahan terhadap kemahiran masa hadapan.

Kredit : Puan Naqiah Binti Puaad & Pusat Komunikasi Korporat