Advertisement

Impian ke menara gading tercapai: KPT, UPSI bantu tiga bakal pelajar di Tumpat, Pasir Mas

oleh Mohamad Shuib Ismail dan Mohd Raizol Ramli

TUMPAT, 20 Ogos 2026 – Keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus diperkasakan menerusi program Ziarah KPT Prihatin yang menyantuni tiga orang pelajar baharu sesi 2026/2027 di sekitar daerah Tumpat dan Pasir Mas, Kelantan.

Sesi ziarah tersebut menyasar tiga bakal pelajar yang menghadapi cabaran kewangan serta latar belakang keluarga yang memerlukan:

En. Hirman Awang (no.1 dari kanan) dan Prof. Norkhalid Salimin (no. 3 dari kanan) bersama-sama Siti Nurdianis dan keluarga menerima sumbangan daripada YPS dan UPSI
  • Siti Nurdianis binti Nordin: Bakal pelajar Fakulti Pengurusan dan Ekonomi yang dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, di mana ibunya bergantung kepada pendapatan harian yang tidak menentu.
  • Lovely Sabana: Pelajar cemerlang yang tular di media sosial baru-baru ini kerana kesempitan hidup dan kekangan kewangan yang hampir menghalangnya mendaftar masuk ke menara gading. Bakal Pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK).
  • Muhamad Ilias Danish: Bakal pelajar Fakulti Bahasa dan Komunikasi yang kehilangan tempat bergantung selepas kematian bapa dan kini membantu ibunya menyara keluarga.

Bagi meringankan beban persediaan awal, setiap pelajar menerima sumbangan berjumlah RM1,500 — merangkumi RM500 daripada Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) UPSI serta RM1,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa (YPS).

En. Hirman Awang (no.3 dari kiri) dan Prof. Norkhalid Salimin (no. 3 dari kanan) bersama-sama Lovely dan keluarga menerima sumbangan daripada YPS dan UPSI

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT, En. Hirman Awang berkata, sumbangan YPS ini adalah bukti komitmen kementerian dalam memastikan tiada pelajar tercicir daripada menuntut ilmu.

“Yayasan Perkasa Siswa (YPS) sentiasa bersedia menjadi ‘tentera barisan hadapan’ dalam menjaga kebajikan mahasiswa. Sumbangan RM1,000 kepada setiap pelajar ini diharap dapat menyuntik semangat dan menyelesaikan sebahagian keperluan asas serta yuran pendaftaran mereka sebelum mendaftar di kampus,” jelas beliau.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa peka dengan kesusahan yang dihadapi oleh bakal mahasiswa.

Muhammad Ilias Danish dan Keluarga menerima sumbangan YPS dan UPSI

“Pihak UPSI melalui JHEPA dan WEZAS sentiasa proaktif mengesan pelajar yang memerlukan bantuan awal. Inisiatif turun padang ini bukan sekadar memberi bantuan kewangan, malah memastikan mereka tahu bahawa UPSI sentiasa ada untuk menyokong perjalanan akademik mereka dari hari pertama lagi,” kata beliau.

Program ini merupakan kerjasama strategik antara UPSI, YPS, dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membudayakan nilai prihatin serta memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara. Turut hadir dalam Ziarah KPT Prihatin hari ini ialah Pengarah WEZAS, UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir bin Abd Latif dan Timbalan Dekan (HEP&A), FSK