Advertisement

Hari Penamaan Calon MPP Sidang 2026/2027: UPSI Melakar Landskap Kepimpinan Baharu

Oleh: Nur Munawwirah

TANJONG MALIM, 15 OKTOBER 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan usaha memperkukuh budaya demokrasi dalam kalangan mahasiswa menerusi Hari Penamaan Calon bagi Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (PMPP) Sidang 2026/2027.

Majlis yang berlangsung pada jam 4.00 petang di Atrium Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) itu dihadiri oleh calon-calon bertanding, penyokong, tetamu jemputan serta wakil Campus Election Organization (CEO).

Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dan Profesor Dr. Norkhalid Salimin menyapa calon dan penyokong yang hadir

Turut hadir menyaksikan acara berkenaan ialah Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin.

Dalam ucapan perasmiannya, Profesor Dato’ Dr. Md Amin menzahirkan harapan agar PMPP sesi ini berjalan lancar sekali gus menjadi platform melahirkan pemimpin mahasiswa yang berintegriti, bertanggungjawab dan berwibawa.

Beliau turut menasihati para calon agar berkempen secara berhemah, beretika dan profesional dengan mengutamakan nilai kematangan serta persaingan sihat.

“Barisan kepimpinan yang dipilih kelak perlulah berupaya membawa suara pelajar, memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan menyumbang kepada kecemerlangan universiti.

Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff menyampaikan ucapan

“Mahasiswa juga diharapkan dapat membuat pilihan secara bijak dan bertanggungjawab demi memastikan kepimpinan yang bakal diterajui benar-benar berkesan,” katanya.

Selepas proses penamaan calon selesai, tempoh berkempen diperuntukkan selama lima hari bermula 23 hingga 27 Oktober 2026 bagi memberi ruang kepada para calon menyebarkan manifesto dan perancangan masing-masing.

Profesor Dr. Norkhalid Salimin bergambar kenangan bersama-sama pengurusan dan pelajar-pelajar

Sebanyak 33 kerusi dipertandingkan bagi sidang kali ini, merangkumi enam kerusi Umum, 22 kerusi Fakulti (dua wakil bagi setiap 11 fakulti), serta lima kerusi Khusus yang mewakili mahasiswa etnik Cina, India, Sabah, Sarawak dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Kepelbagaian kategori perwakilan ini mencerminkan komitmen UPSI dalam menyediakan ruang representasi yang inklusif agar suara setiap latar belakang pelajar dapat diangkat ke peringkat tertinggi universiti.

Secara keseluruhannya, penganjuran PMPP Sidang 2026/2027 ini diharapkan menjadi penanda aras dalam menyemai amalan demokrasi kampus dan melahirkan barisan pemimpin pelapis yang berwibawa.

Total Views: 29