Advertisement

FKAAB terus perkukuh jati diri mahasiswa melalui Program Recharge FKAAB 2026 (3.0).

Oleh: Noorliyana Omar dan Prof. Madya. Ir. Ts. Dr. Nor Haslinda Abas

Batu Pahat, 5 Jun 2026 – Program Recharge FKAAB 2026 (3.0) bertemakan “From Zero to Hero: Menangani Tekanan, Meningkatkan Motivasi” telah berjaya dianjurkan bagi membantu mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membina semula kekuatan emosi, meningkatkan motivasi dan memperkukuhkan daya tahan dalam menghadapi cabaran akademik.

Program yang berlangsung di Bilik Taklimat Makmal Kejuruteraan Trafik, FKAAB ini menjadi platform sokongan kepada pelajar untuk memahami bahawa setiap kegagalan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan perkembangan diri.

Program ini telah disampaikan oleh Encik Muhammad Zhafri bin Mohamad Hisham (Pegawai Psikologi Unit Kaunseling UTHM Kampus Cawangan Pagoh) yang berkongsi pelbagai pendekatan pengurusan tekanan dan kesejahteraan mental.

Antara objektif utama program adalah membantu pelajar mengenal pasti punca serta tanda tekanan akademik dan peribadi, mengaplikasikan teknik pengurusan tekanan yang sihat, meningkatkan keyakinan diri dan membina komitmen terhadap pembelajaran serta kesejahteraan diri.

Sepanjang sesi berlangsung, pelajar mengikuti beberapa aktiviti interaktif seperti “Satu Langkah ke Hadapan”, “Beg Kehidupan Mahasiswa”, “Surat Untuk Kawan Baik” dan “Wow! Superhero! yang bertujuan membantu mereka mengenali emosi, memahami sumber tekanan dan membina semula dialog dalaman yang lebih positif.

Melalui perkongsian tersebut, pelajar didedahkan bahawa tekanan boleh berpunca daripada beban akademik, cabaran kewangan, konflik sosial serta faktor keluarga, dan tekanan yang tidak diurus boleh memberi kesan terhadap emosi, tingkah laku serta pencapaian akademik.

Penceramah turut memperkenalkan konsep “Zero” sebagai fasa kejatuhan sementara, diikuti perjalanan lima langkah iaitu kesedaran diri (awareness), penerimaan keadaan (acceptance), mengambil tindakan kecil secara konsisten (action) dan berkembang menjadi versi diri yang lebih kuat (growth).

Selain itu, pelajar turut diperkenalkan dengan teknik bantuan emosi seperti pernafasan kotak (box breathing), teknik grounding 5-4-3-2-1 dan kaedah pengurusan masa melalui Eisenhower Matrix bagi membantu mereka mengurus tekanan dengan lebih berkesan.

Secara keseluruhannya, Program Recharge FKAAB 2026 (3.0) telah memberikan impak positif kepada peserta melalui peningkatan kesedaran terhadap kesihatan mental, pengukuhan daya tahan diri dan pembentukan pemikiran yang lebih positif.

Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong usaha UTHM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai kesejahteraan emosi dan kemahiran mengurus cabaran kehidupan dengan lebih baik.