
Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 24 Mei 2026 :- Universiti Kebangsaan Malaysia melakar sejarah manis apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Festival Kebudayaan Universiti Malaysia (FEStKUM) 2026 yang melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang di Dewan Pembangunan Siswa 1, Universiti Sains Malaysia (USM).

Kejayaan bermakna itu menyaksikan UKM mendominasi beberapa acara utama sekali gus mengetepikan saingan sengit daripada 19 buah universiti awam lain dari seluruh negara dalam festival tiga hari yang berlangsung sejak 21 Mei lalu.
Penganjuran FesKUM edisi tahun ini menampilkan keunikan tersendiri dengan mempertaruhkan tujuh acara pertandingan.
Bagi mengimbangi dinamika semasa, empat daripada acara tersebut telah dilaksanakan secara atas talian yang merangkumi pertandingan teater monolog, instrumental muzik, tarian kreatif Malaysia, dan deklamasi sajak, manakala tiga lagi pertandingan dijalankan secara fizikal yang menjadi medan dinamik buat para mahasiswa untuk menonjolkan kebitaraan bakat serta kreativiti seni masing-masing.



Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, yang hadir menyerikan kemuncak pertandingan nyanyian Irama Malaysia sekali gus merasmikan majlis penutupan program tersebut, menyatakan penghargaan tertingginya terhadap usaha berterusan daripada seluruh institusi yang terlibat.
Beliau memuji keaktifan universiti awam dalam memartabatkan seni tradisional dan budaya tempatan agar terus subur dan relevan mendepani arus globalisasi yang sarat dengan kepesatan teknologi. “Komitmen murni seperti ini adalah sangat penting bagi memastikan khazanah warisan bangsa serta identiti negara tidak lenyap ditelan zaman, sebaliknya terus dipelihara dengan rapi untuk diwariskan kepada generasi yang akan datang,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup.

Penganjuran FesKUM 2026 ini diharapkan akan terus konsisten berfungsi sebagai platform terbaik dan rujukan utama dalam memperkasakan bakat seni budaya mahasiswa universiti di Malaysia.
Sinergi strategik ini diyakini mampu melahirkan barisan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi pencapaian akademik, malah memiliki jiwa, nilai murni, serta identiti kebudayaan yang tinggi.
Majlis kemuncak dan upacara penutupan yang penuh gilang-gemilang itu turut diserikan dengan kehadiran Ketua Penolong Pengarah Seksyen Penyerlahan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, JPT-KPT, Puan Wan Noor Sheila Mior Sharifuddin. Hadir sama adalah barisan pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM serta barisan tetamu jemputan khas MAKUM.












