Advertisement

Dapur Kasih Bitara UPSI Siri 12/2026: 800 Makanan Percuma Ringankan Beban Pelajar

oleh Mohamad Shuib Ismail dan Mohd Raizol Ramli

TANJONG MALIM, 12 Ogos – Kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa terus menjadi keutamaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi pengagihan 800 pek makanan percuma dalam program Dapur Kasih Bitara Siri 12/26 yang berlangsung di Masjid Al-Mursyidin, di sini hari ini.

Dapur Kasih Bitara UPSI membantu meringankan beban pelajar

Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sukarelawan kolej kediaman serta Skuad Mahasiswa Prihatin itu dirangka khas bagi mengurangkan beban kos sara hidup para pelajar.

Ketua Timbalan Pendaftar BHEP, Puan Hajah Maskana binti Ahmad berkata, pihak pengurusan universiti sentiasa komited memastikan kebajikan pelajar terjamin di samping memupuk semangat berpersatuan dan keprihatinan sosial melalui aktiviti kesukarelawanan.

Puan Hajah Maskana Ahmad (tengah) bersama-sama sebahagian jawatankuasa bertugas

“Inisiatif seperti Dapur Kasih Bitara ini bukan sekadar memberi bantuan makanan percuma, malah menjadi medan penting untuk menyemai jiwa kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa dan warga UPSI. Menjaga kebajikan pelajar adalah tanggungjawab bersama, dan pembabitan aktif pelajar dalam kerja-kerja sukarela seperti ini berupaya membentuk sahsiah diri yang prihatin serta berempati tinggi terhadap masyarakat,” katanya.

Jawatankuasa giat menyiapkan pek makanan untuk edaran pelajar

Gerak kerja penyediaan makanan bermula seawal jam 7.30 pagi, melibatkan persiapan bahan serta peralatan memasak sebelum diteruskan dengan proses pembungkusan. Seramai 30 tenaga kerja yang terdiri daripada staf universiti dan sukarelawan pelajar berganding bahu bagi memastikan kelancaran program berkenaan.

Turut hadir memberikan sokongan moral dalam program tersebut ialah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FSM, Dr. Mohd Ikhwan Hadi bin Yaacob.

Kerjasama strategik pelbagai pihak dalam menjayakan program ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memantapkan ekosistem kebajikan mahasiswa, sekali gus memperkukuh nilai kebersamaan di peringkat universiti.