Advertisement

Danish Sedia Gegar Oregon, Buru Tiket Final 100m Dunia

Oleh Mohd Faiz Zabri dan Ali Zainal Abidin Lokman

TANJUNG MALIM, 2 Ogos – Tumpuan peminat olahraga tanah air bakal terarah kepada pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, yang bakal memulakan kempen acara 100 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat, bermula 6 Ogos ini.

Atlet berusia 19 tahun kelahiran Johor itu tampil sebagai antara prospek paling menyerlah negara dengan catatan peribadi terbaik 10.18 saat (s), serta rekod musiman 10.36s.

Prestasi konsisten beliau sebelum ini dibuktikan menerusi kejayaan mara ke pentas final Kejohanan Olahraga Asia B20 2026, selain menyumbang pingat gangsa acara 100m pada Sukan SEA Thailand 2025.

Danish menyumbang pingat gangsa acara 100m pada Sukan SEA Thailand 2025

Penyertaan Danish di pentas dunia ini turut mendapat sokongan padu daripada pengurusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan atlet mahasiswa berkenaan.

“Kami di warga UPSI sentiasa mendoakan kejayaan Danish di Oregon. Pentas dunia ini adalah ruang terbaik untuk beliau membuktikan potensi sebenar. Dengan semangat ‘Impossible Is Nothing’, kami yakin beliau mampu memberikan saingan sengit dan membawa cabaran negara ke peringkat tertinggi,” kata beliau.

Misi di Oregon dijangka mencabar apabila Danish bakal berdepan barisan pelari pecut B20 terbaik dunia. Walau bagaimanapun, peluang untuk mencipta kejutan tetap terbuka sekiranya beliau berjaya menampilkan larian terbaik.

Jadual Saingan Danish (Waktu Malaysia):

  • Pusingan Pertama: 6 Ogos | 2.44 pagi
  • Separuh Akhir: 6 Ogos | 9.30 pagi
  • Final: 7 Ogos | 11.35 pagi

Kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan memburu tiket ke final, malah platform penting buat Danish mengukur kemampuan bersama kelompok pelari muda terpantas dunia menjelang saingan peringkat senior kelak.