Advertisement

Anugerah Keusahawanan UiTM (AKEUS) 2025: Mengiktiraf Kecemerlangan dan Memperkasa Ekosistem Keusahawanan Mahasiswa

Oleh: Badrul Isa dan Hairul Reazuan Asmayadi

SHAH ALAM, 13 Oktober 2026 — Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Malaysian Academy of SME and Entrepreneurship Development (MASMED), Jabatan Hal Ehwal Pelajar, terus memperkukuh agenda pembangunan keusahawanan mahasiswa menerusi penganjuran sulung Anugerah Keusahawanan UiTM (AKEUS) 2025. Majlis yang berlangsung di De Palma Hotel, Shah Alam pada 12 Oktober 2026 itu menjadi platform penting untuk mengiktiraf pencapaian, meraikan kecemerlangan dan menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa UiTM.

AKEUS 2025 diperkenalkan sebagai platform strategik untuk menghimpunkan, menilai dan mengiktiraf pencapaian serta inisiatif keusahawanan mahasiswa dari seluruh fakulti dan kampus cawangan UiTM. Melalui penganjuran ini, pelbagai usaha, inovasi dan kejayaan mahasiswa dapat dikenal pasti serta diketengahkan secara lebih sistematik di peringkat universiti.

Selain menjadi medan pengiktirafan, AKEUS turut berperanan sebagai mekanisme untuk menilai pencapaian keusahawanan mahasiswa dan mengenal pasti bakat serta inisiatif terbaik untuk mewakili UiTM dalam pertandingan dan program pengiktirafan di peringkat kebangsaan. Usaha ini turut menyumbang kepada pemilihan pencapaian terbaik untuk mewakili UiTM dalam Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) 2025.

Penerima Anugerah Projek Kesusahawanan Terbaik Sosial Terbaik (Program Badminton) bergambar bersama hadiah kemenangan mereka.

Peranan MASMED Signifikan dalam Memperkasa Ekuiti Bumiputera

Majlis AKEUS 2025 telah disempurnakan oleh Datuk Mustapha Kamil Ayub, Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), manakala ucapan alu-aluan disampaikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Mustapha Kamil Ayub menegaskan bahawa MASMED memainkan peranan signifikan dalam menyokong aspirasi memperkukuh penyertaan dan ekuiti Bumiputera dalam ekonomi negara.

Datuk Mustapha Kamil sewaktu ucapan perasmian beliau.

Menurut beliau, UiTM memikul tanggungjawab besar dalam merealisasikan aspirasi tersebut melalui pembangunan modal insan Bumiputera yang bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah berupaya mencipta peluang ekonomi, membangunkan perusahaan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Beliau turut mengaitkan peranan strategik MASMED dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), khususnya dalam memastikan pembangunan keusahawanan mahasiswa menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan ekonomi Bumiputera.

Sehubungan itu, MASMED di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar berperanan sebagai peneraju pembangunan keusahawanan mahasiswa, bermula daripada pembentukan minat, pemikiran dan keyakinan diri sehingga kepada pembangunan potensi mahasiswa sebagai usahawan Bumiputera yang berdaya saing.

Lima Dekad MASMED Membina Legasi Keusahawanan UiTM

Dalam ucapan alu-aluannya, Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin, mengimbau perjalanan MASMED yang telah menjangkau lebih lima dekad dalam membangunkan pendidikan dan ekosistem keusahawanan universiti.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas pelbagai pencapaian yang diraih sepanjang tempoh tersebut, yang mencerminkan sumbangan MASMED dalam membina budaya keusahawanan sebagai sebahagian daripada kekuatan institusi UiTM.

Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin menegaskan bahawa pembangunan keusahawanan tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada usaha melahirkan usahawan, sebaliknya perlu memberikan penekanan kepada pembentukan pemikiran, minda dan jiwa keusahawanan yang kental dalam kalangan mahasiswa.

Pemenang Anugerah Inkubator Terbaik (Inkubator Keusahawanan Agropreneur) bergambar bersama hadiah kemenangan mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap agar UiTM, khususnya Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan MASMED, terus memperkukuh ekosistem keusahawanan yang mampu membentuk mahasiswa yang kreatif, berdaya tahan, yakin akan kemampuan diri dan berani meneroka peluang baharu.

Aspirasi ini selaras dengan usaha universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki pasaran pekerjaan, malah berpotensi menjadi pencipta peluang pekerjaan serta penyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Koridor Keusahawanan Perluas Peluang dan Pengalaman Perniagaan Mahasiswa

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi memaklumkan bahawa Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut memperkenalkan inisiatif pembangunan Koridor Keusahawanan di kolej kediaman, fakulti dan kampus UiTM.

Inisiatif ini bertujuan menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk memperoleh pengalaman secara langsung dalam mengendalikan aktiviti perniagaan, sekali gus memperkukuh pembelajaran

Melalui penyediaan ruang keusahawanan yang mudah diakses dalam persekitaran kampus, mahasiswa berpeluang membangunkan pelbagai kemahiran penting, termasuk pengurusan, pemasaran, komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah yang diperlukan dalam dunia perniagaan.

Pembangunan Koridor Keusahawanan ini mencerminkan komitmen Jabatan Hal Ehwal Pelajar untuk memperluas pengalaman pembelajaran tidak formal serta membudayakan keusahawanan sebagai sebahagian daripada kehidupan mahasiswa sepanjang tempoh pengajian.

Pemenang Anugerah Kelab / Persatuan Pelajar Terbaik (Penang Nursing Student Association) bergambar bersama hadiah kemenangan mereka.

AKEUS sebagai Penanda Aras Kecemerlangan Keusahawanan UiTM

Penganjuran AKEUS 2025 menandakan satu lagi langkah strategik MASMED dalam memperkukuh sistem pengiktirafan dan penilaian pencapaian keusahawanan mahasiswa di seluruh UiTM.

Melalui penglibatan fakulti dan kampus cawangan, pelbagai pencapaian serta inisiatif keusahawanan mahasiswa dapat dihimpunkan dalam satu platform bagi membolehkan kecemerlangan dikenal pasti, dinilai dan diberikan pengiktirafan sewajarnya.

Pendekatan ini bukan sahaja menggalakkan persaingan sihat, malah membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik, peningkatan kualiti inisiatif keusahawanan dan pembentukan budaya kecemerlangan secara berterusan.

AKEUS turut menyediakan asas bagi mengenal pasti mahasiswa berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan, sekali gus menghubungkan pencapaian keusahawanan di peringkat fakulti dan kampus dengan aspirasi kecemerlangan universiti secara keseluruhan.

Penganjuran sulung ini juga memperlihatkan komitmen MASMED untuk memastikan pembangunan keusahawanan mahasiswa dinilai bukan sahaja berdasarkan bilangan aktiviti atau penyertaan, tetapi turut mengambil kira pencapaian, keupayaan mencipta nilai dan impak yang dihasilkan.

Memperkasa Generasi Bumiputera Berjiwa Usahawan

AKEUS 2025 membawa mesej bahawa pembangunan keusahawanan merupakan sebahagian daripada agenda strategik UiTM dalam membentuk generasi Bumiputera yang memiliki keyakinan, daya kreativiti dan keberanian untuk mencipta peluang ekonomi.

Melalui pengiktirafan berterusan, sokongan ekosistem yang menyeluruh dan peluang memperoleh pengalaman perniagaan sebenar, mahasiswa dapat dibimbing untuk melihat keusahawanan bukan sekadar sebagai pilihan kerjaya, tetapi juga sebagai cara berfikir, bertindak dan mencipta nilai.

Penganjuran AKEUS diharapkan menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih ramai mahasiswa, fakulti dan kampus cawangan dalam memperkukuh budaya keusahawanan UiTM.

AKEUS 2025 bukan sekadar pentas meraikan kejayaan, malah menjadi manifestasi komitmen UiTM untuk membangunkan generasi mahasiswa Bumiputera yang berjiwa usahawan, berdaya saing dan berupaya menyumbang kepada pembentukan masa depan ekonomi negara yang lebih mampan.

Total Views: 45