oleh Najiha Balqis binti Jeffridin
TANJONG MALIM, 23 Ogos – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB) Sidang 2026/2027, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Kem Team Building KAB selama tiga hari bertempat di UPSI Adventure Park, baru-baru ini.
Program yang berlangsung pada 21 hingga 23 Ogos itu melibat seramai 40 orang ahli barisan kepimpinan mahasiswa dengan kerjasama pihak pentadbiran serta felo kolej. Kem ini direka khusus bagi mengeratkan silaturahim, memupuk semangat kerjasama, meningkatkan kemahiran komunikasi, serta mengasah kepimpinan diri peserta menerusi pelbagai ujian mental, fizikal, dan emosi.
Inisiatif pembinaan pasukan ini mendapat sokongan penuh daripada pihak pentadbiran kolej yang melihatnya sebagai platform penting dalam melahirkan pemimpin pelajar yang berdaya saing.

Pengetua Kolej Aminuddin Baki, Encik Zulkifli bin Mamat menekankan bahawa program seumpama ini merupakan medan terbaik untuk membentuk kekuatan mental dan semangat kesepaduan sesebuah organisasi.
“Program bina pasukan ini bukan sekadar aktiviti luar, sebaliknya merupakan pelaburan modal insan yang amat penting. Melalui cabaran fizikal dan emosi yang disediakan, kita mahu melahirkan barisan pemimpin mahasiswa yang bukan sahaja matang dalam membuat keputusan, malah mempunyai empati, komunikasi yang berkesan, serta kebolehan bekerjasama dalam satu pasukan yang padu,” kata beliau.

Sepanjang tiga hari program berlangsung, para peserta diuji dengan pelbagai aktiviti mencabar. Hari pertama dimulakan dengan persiapan kawasan perkhemahan dan memasak menggunakan kayu api secara bergotong-royong. Aktiviti kemudiannya diteruskan dengan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bertajuk Mengenali Watak Organisasi dan Cabaran dan Solusi Pemimpin.
Uniknya, peserta diberikan tugasan di luar jangka seperti mencari 10 ekor cengkerik dan 10 jenis rumput yang sama panjang—sebuah aktiviti bersimbolik yang menguji ketelitian, kesabaran, serta pemikiran kritikal seorang pemimpin.
Memasuki hari kedua, cabaran fizikal dipertingkatkan menerusi aktiviti mendaki bukit dan meredah hutan menuju ke kawasan air terjun. Di sana, peserta sekali lagi diuji dari segi ketahanan dan kerjasama apabila dikehendaki menyediakan hidangan dengan menyalakan unggun api bersama-sama di alam semula jadi.

Salah seorang peserta program, YDP MMK KAB, Muhammad Nur Syukur bin Dzahir, berkongsi pengalaman beliau mengenai cabaran yang dilalui sepanjang kem tersebut.
“Aktiviti seperti mendaki bukit dan menyalakan unggun api menggunakan kayu basah benar-benar menguji kesabaran dan ketahanan fizikal kami. Namun, cabaran itulah yang membuka mata kami tentang pentingnya saling bergantung dan percaya antara satu sama lain. Apabila letih, sokongan moral daripada rakan pasukanlah yang menjadi kekuatan untuk kami sampai ke garis penamat bersama-sama,” jelas Syukur.

Kem ini diakhiri pada hari ketiga dengan slot refleksi bertajuk Fokus Arahan yang dikendalikan oleh Pengetua KAB, membolehkan peserta menilai kembali pengajaran serta nilai kepimpinan yang diperoleh sepanjang program.
Penganjuran Kem Team Building KAB ini terbukti bukan sahaja berjaya merapatkan jurang antara ahli organisasi, malah menjadi batu asas kukuh dalam melahirkan barisan pemimpin mahasiswa UPSI yang berkeyakinan tinggi, berprestasi, dan berjiwa kental.













