Berita dan Gambar oleh PPKKG JHEPA UUM
PUTRAJAYA, 23 November 2026 – Tiga pasukan Universiti Utara Malaysia (UUM), iaitu Free Rider, MakeItWork dan Sky Vision telah terpilih untuk menyertai MAG Business Case Challenge Malaysia 2026 (BCC MY 2026), sebuah program anjuran Malaysia Aviation Group (MAG) dengan kerjasama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Setiap pasukan yang mewakili UUM terdiri daripada lima orang pelajar dan akan bersaing bersama pasukan daripada universiti awam serta swasta di seluruh Malaysia dalam cabaran penyelesaian kajian kes yang memberi pendedahan kepada realiti serta cabaran industri penerbangan.
Ketiga-tiga pasukan UUM telah menghadiri Majlis Pelancaran MAG Business Case Challenge Malaysia 2026 yang berlangsung di Heriot-Watt University Malaysia (HWUM), Putrajaya, pada 23 November 2026.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ernee Yuni, Ketua, Kepimpinan & Pengurusan Bakat, MAG, yang memaklumkan bahawa 243 pasukan daripada universiti awam dan swasta di seluruh Malaysia telah mengemukakan permohonan untuk menyertai cabaran tersebut. Bagaimanapun, hanya 40 pasukan daripada 23 universiti berjaya dipilih untuk menyertai program ini, sekali gus memperlihatkan persaingan yang kompetitif dalam kalangan mahasiswa.
Para peserta turut diberikan taklimat mengenai perjalanan dan pelaksanaan cabaran, termasuk pendedahan kepada tajuk kajian kes yang perlu diselesaikan oleh setiap pasukan sepanjang program berlangsung. Sesi ini turut menerangkan proses penilaian serta pemilihan 10 pasukan terbaik yang akan melayakkan diri ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung pada Januari 2027. Para peserta juga diperkenalkan kepada mentor masing-masing daripada MAG yang akan membimbing mereka sepanjang tempoh cabaran. Sesi taklimat dan pembahagian mentor tersebut dikendalikan oleh Nurul Alwani Razali, Penolong Pengurus, Perkongsian & Program Bakat, MAG.
Majlis pelancaran kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Profesor Mushtak Al-Atabi, Ketua Pegawai Eksekutif & Provost, Heriot-Watt University Malaysia (HWUM), yang menzahirkan rasa berbesar hati atas kehadiran semua peserta, wakil universiti dan pihak industri ke kampus HWUM bagi menjayakan penganjuran MAG BCC MY 2026.

Ucapan seterusnya disampaikan oleh Siva Kumeren A. Narayanan, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO), TalentCorp, sebelum majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh Amran Mohd Tomin, Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan (GCPO), MAG, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pasukan yang berjaya terpilih untuk menyertai cabaran tersebut. Beliau turut menzahirkan harapan agar para peserta dapat memanfaatkan peluang berkenaan untuk mengembangkan potensi, mengasah kemahiran menyelesaikan masalah serta mengetengahkan idea dan penyelesaian yang kreatif terhadap cabaran perniagaan sebenar.
Majlis turut menyaksikan sesi pertukaran cenderamata antara pihak MAG, TalentCorp dan HWUM sebagai simbolik penghargaan serta kerjasama strategik antara pihak industri, institusi pendidikan tinggi dan agensi berkaitan dalam memperkukuh pembangunan bakat graduan negara.
Dr. Fikriyah Abdullah berkata, penyertaan mahasiswa UUM dalam program berasaskan penyelesaian kajian kes seperti ini merupakan satu peluang berharga untuk mereka menguji keupayaan diri, mengaplikasikan ilmu yang dipelajari serta memahami keperluan sebenar industri.
Beliau turut berharap agar ketiga-tiga pasukan UUM dapat memanfaatkan sepenuhnya bimbingan mentor dan pengalaman sepanjang program bagi menghasilkan idea yang kreatif, inovatif serta mampu bersaing dengan pasukan daripada universiti lain.

Penyertaan tiga pasukan UUM dalam BCC MY 2026 mencerminkan komitmen universiti dalam menggalakkan penglibatan mahasiswa dalam program berteraskan industri, di samping menyediakan platform untuk mereka mengaplikasikan pengetahuan akademik, meningkatkan kemahiran pemikiran kritis, kreativiti dan penyelesaian masalah dalam menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar.
Diharapkan penyertaan tiga pasukan UUM dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi menyerlahkan keupayaan mahasiswa UUM serta melakar kejayaan sehingga ke peringkat akhir nanti. Turut hadir dalam majlis tersebut, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, Pengarah Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC).













