PUTRAJAYA, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul Tempat Ketiga dalam Cabaran Ceritera Muzikal MADANI, sekali gus membawa pulang dua pengiktirafan berprestij iaitu Anugerah Idea & Konsep dan Anugerah Tarian Terbaik sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti, keunikan persembahan dan komitmen yang ditampilkan oleh para peserta sepanjang pertandingan berlangsung.
Kejayaan ini merupakan hasil usaha dan kerjasama erat mahasiswa bersama Pusat Kebudayaan (PUSKEB), USIM dalam menggilap bakat, memperkukuh kemahiran persembahan serta mengetengahkan kreativiti seni dan budaya dalam kalangan mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, YBrs. Prof. Dr. Mushaddad Hasbullah, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas kejayaan yang diraih, malah menyifatkan pencapaian tersebut sebagai bukti bahawa mahasiswa USIM mempunyai potensi besar dalam bidang seni dan kebudayaan.

“Walaupun USIM tidak mempunyai fakulti khusus dalam bidang seni dan kebudayaan, sebaliknya hanya mempunyai Pusat Kebudayaan sebagai pusat yang menggerakkan aktiviti dan pembangunan bakat seni mahasiswa, namun anak-anak mahasiswa kita telah membuktikan bahawa mereka mempunyai bakat, kreativiti dan kemampuan yang luar biasa.
“Saya amat berbangga dengan pencapaian ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Kebudayaan USIM atas usaha menyediakan latihan, bimbingan dan ruang kepada mahasiswa untuk mengembangkan bakat serta menyerlahkan potensi mereka. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan peluang, latihan dan komitmen yang berterusan, mahasiswa mampu menghasilkan sesuatu yang membanggakan universiti,” katanya.

Beliau turut berharap agar pencapaian tersebut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa penglibatan mahasiswa dalam bidang seni, budaya dan kreativiti, selaras dengan pembangunan mahasiswa yang holistik serta seimbang dari aspek intelektual, spiritual, emosi dan fizikal.
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh pasukan USIM, khususnya warga Pusat Kebudayaan serta mahasiswa yang terlibat secara langsung dalam menjayakan persembahan tersebut.
Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama USIM, malah membuktikan bahawa bakat dan potensi mahasiswa mampu digilap sehingga mencapai pengiktirafan di peringkat yang lebih tinggi.













