Oleh: Muhammad Salehudin Moh Esa & Hairul Reazuan
SERDANG, 12 Jun – Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali lagi mengharumkan nama institusi apabila muncul Johan Festival Zapin Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2026 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM) dari 5 hingga 7 Jun lalu.
Kejayaan tersebut diraih menerusi pasukan Gemalai Qarma Dansa daripada Pusat Kebudayaan UiTM yang berjaya menewaskan penyertaan daripada 10 universiti awam lain dalam pertandingan berprestij itu.
Festival berkenaan telah menghimpunkan 11 universiti awam seluruh negara dan berlangsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.
Selain dinobatkan sebagai juara keseluruhan, pasukan UiTM turut merangkul Anugerah Koreografi Terbaik, sekali gus membuktikan keupayaan mahasiswa UiTM dalam menghasilkan persembahan seni yang kreatif, berkualiti dan berteraskan warisan budaya Melayu.

Tempat kedua pertandingan dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia (UPM), manakala Universiti Malaya (UM) menduduki tempat ketiga.
Sementara itu, Anugerah Khas Juri menjadi milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala Anugerah Tatarias Terbaik dan Anugerah Busana Terbaik masing-masing dimenangi oleh Universiti Malaya (UM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh wakil Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut menzahirkan penghargaan terhadap usaha institusi pengajian tinggi dalam memelihara dan memperkasa seni budaya warisan negara.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof. Dr. Hj. Mohd Sazili Shahibi berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa UiTM bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mampu menyerlah dalam bidang seni dan kebudayaan.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang, berketerampilan dan menghargai warisan budaya negara. Kejayaan Gemalai Qarma Dansa adalah hasil dedikasi, disiplin serta semangat kerja berpasukan yang tinggi,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pusat Kebudayaan UiTM, jurulatih, tenaga kerja belakang tabir dan seluruh anggota pasukan yang telah bekerja keras menjayakan penyertaan tersebut.

Kejayaan ini selaras dengan aspirasi UiTM untuk memperkukuh pembangunan mahasiswa secara holistik melalui penglibatan aktif dalam bidang seni, budaya, kepimpinan dan kesukarelawanan.
Pada masa sama, penyertaan dalam festival seperti ini turut menjadi platform penting untuk memupuk jati diri, semangat patriotisme serta apresiasi terhadap seni warisan dalam kalangan mahasiswa.
Pusat Kebudayaan UiTM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan pasukan di pentas kebangsaan.
Kemenangan di Festival Zapin MAKUM 2026 ini sekali lagi membuktikan keunggulan UiTM sebagai institusi yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah terus menjadi peneraju dalam pemerkasaan seni dan budaya negara.












