Advertisement

GAJI PERMULAAN RM6,000.00 JADI TARIKAN DI UNIVERSITI MALAYA

Oleh : Mohd Nasarizal Nazaruddin, Koordinator Seksyen Media dan Keterlihatan, Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, 10 Jun 2026 @ 10.15 pagi.

Gaji permulaan seorang Jurutera Kecerdasan Buatan (AI) bermula RM6,000 sebulan untuk graduan baharu, menjadikan kerjaya ini antara pilihan paling menarik dalam pasaran kerja moden. Ini adalah sebahagian yang dikongsikan oleh industri seperti Maistorage di UM Step Up 2026 dalam sesi taklimat kerjaya mereka.

Sokongan Phison membuktikan pelaburan strategik dalam AI mampu membuka peluang luas kepada generasi muda.

Taklimat kerjaya yang dibawakan oleh Maistorage merupakan salah satu segmen penting dalam UM Step Up 2026 yang berlangsung dari 8 hingga 11 Jun 2026 di Marquee Tent, Dataran Dewan Tunku Canselor. Program ini membuktikan bahawa pengisian taklimat kerjaya amat bernilai kerana pengunjung yang hadir ke pameran tetapi tidak singgah ke sesi ini akan kehilangan peluang besar untuk memahami dunia pekerjaan sebenar.

Encik Fareezy Fahmy, seorang Jurutera AI, menerangkan rutin harian yang terbahagi kepada empat bahagian utama. Pada waktu pagi, mereka mengadakan mesyuarat ringkas bagi menilai maklum balas tugasan semalam serta keputusan eksperimen AI, manakala pertengahan pagi dimanfaatkan untuk kerja mendalam seperti melaras model dan menanda aras prestasi perkakasan.

Suasana penuh tumpuan – taklimat kerjaya Jurutera AI membuka minda mahasiswa UM tentang peluang masa depan.

Pada sebelah petang, jurutera AI berkolaborasi dengan jurutera perisian untuk menyelaras produk dan merangka eksperimen baharu. Di penghujung hari, mereka menilai semula keputusan, mendokumentasikan penemuan, dan merancang tugasan keesokan harinya, sekali gus memperlihatkan cabaran sebenar dalam pembangunan teknologi.

Selain itu, jurutera AI turut membangunkan sistem end-to-end bagi menyimpan data, harta intelek dan aplikasi AI secara dalaman sepenuhnya. Mereka juga membina solusi berdasarkan kehendak pasaran Malaysia dengan memanfaatkan kerangka terkini seperti Agentic AI untuk memastikan teknologi sentiasa relevan dan seiring dengan trend semasa.

Taklimat ini jelas menunjukkan bagaimana kerjaya jurutera AI memberi pengalaman langsung tentang kejuruteraan sebenar yang menjadikan kajian bertukar kepada produk yang boleh dipasarkan. Kepentingannya menonjolkan bahawa sesi taklimat kerjaya di UM Step Up 2026 adalah peluang emas untuk pelajar memahami realiti industri dan mempersiapkan diri menghadapi pasaran kerja.

TNC (HEP) bergambar bersama barisan GECC dan wakil daripada Talentbank – komitmen membuka ruang dan peluang seluasnya untuk mahasiswa.

Melalui Graduate Employability & Career Centre (GECC), Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya sentiasa membuka ruang dan peluang seluasnya untuk mahasiswa. Pandangan ini menegaskan bahawa mahasiswa perlu memanfaatkan sepenuhnya platform UM Step Up 2026 yang akan berakhir pada 11 Jun 2026 di Marquee Tent, Dataran Dewan Tunku Canselor, dengan siri taklimat kerjaya berharga yang boleh dirujuk lanjut melalui pautan Instagram GECC UM..