Oleh: Mohd Nasarizal Nazaruddin, Koordinator Seksyen Media & Keterlihatan, Portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya 25 Mei 2026 @ 11.21 pagi.
Kuala Lumpur, 25 Mei 2026 – Malam Juara-Juara Festival Seni Universiti Malaya (FESENI 26) berlangsung penuh gemilang di Dewan Tunku Canselor (DTC) malam tadi. Acara ini menyajikan persembahan daripada setiap juara kategori pertandingan FESENI 26 melibatkan 13 Kolej Kediaman dan Unit Luar Kampus (ULK) yang bertanding selama 12 hari di DTC dan Kompleks Perdana Siswa (KPS).
Kategori pertandingan merangkumi Boria, Dikir Barat, Koir, Nasyid, Nyanyian Irama Melayu, Nyanyian Inggeris, Kompang, Manifestasi Puisi, Tarian Tradisional Kebangsaan, Tarian Kreatif, Tarian Cina, Tarian India, Muzik Akustik dan Pop Band.

Dalam ucapannya, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) menyatakan bahawa Malam Juara-Juara adalah malam kebanggaan ibu bapa. Putera-puteri mereka bukan sahaja menjadi insan berilmu, tetapi turut menyerlah dalam bidang seni dan budaya.
Malam Juara-Juara menampilkan persembahan daripada setiap juara kategori yang dipersembahkan dalam tiga bahagian dan diselang-seli dengan penyampaian sijil serta anugerah kemenangan oleh Naib Canselor, YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman bersama barisan Timbalan Naib Canselor.
Sorakan dan tepukan gemuruh memenuhi ruang dewan setiap kali juara diumumkan. Suasana penuh semangat itu melambangkan solidariti dan kebersamaan warga kampus serta masyarakat yang hadir.
Mengimbas kembali, pada 7 Mei pertandingan nyanyian Bahasa Melayu dan Inggeris menarik penyertaan besar dengan lapan finalis mara ke pusingan akhir. Adam Zakaria dari KK10 muncul juara nyanyian Inggeris dengan lagu Feeling Good, manakala Danish Akashah menyerlah dalam kategori nyanyian Bahasa Melayu.
Hari pertama festival turut dimeriahkan dengan persembahan boria di DTC. Boria Sri Sembilan B dari KK9 sekali lagi membuktikan dominasi mereka apabila dinobatkan juara dengan persembahan penuh estetika tradisional.

Pada 8 Mei, Kompang Selawat diadakan di Gazebo KPS dengan irama bergema yang menghidupkan suasana penuh keagungan. Manifestasi Puisi di Kompleks Perdana Siswa (KPS) pada 13 Mei pula menyaksikan KK9 muncul juara dengan pementasan penuh emosi.
Pertandingan nasyid pada 14 Mei mencatat fenomena luar biasa apabila tiket habis terjual dalam masa singkat. Pembelian tiket dalam FESENI kali ini sangat laris, bagi warga kampus hanya dibuka secara dalam talian selama lima minit sebelum habis dan sepuluh minit dibuka untuk orang awam sebelum kehabisan tiket juga.
Sari Santun Sepuluh dari KK10 mencuri perhatian dengan persembahan dikir barat yang dianggotai sepenuhnya oleh mahasiswa wanita. Persembahan penuh semangat itu membuktikan seni tradisional mampu dibawa dengan impak besar oleh golongan muda.
Pada 15 Mei, tarian kebangsaan menyerikan pentas dengan busana berwarna-warni. Walaupun ramai peserta tiada asas tarian, latihan intensif menjadikan persembahan mereka mantap dan penuh keyakinan.
Kembali ke Malam Juara-Juara, kumpulan Royescendo tampil unik dengan persembahan koir berkonsepkan Melayu klasik. Hanya berbekalkan paluan kompang dan harmoni suara a cappella, mereka berjaya menyuntik nafas baharu dalam seni koir kontemporari.
Royal Mining Soul dari KK12 pula mempersembahkan tarian tradisional Cina dengan simbolisme topi petani. Naratif muzik menggambarkan kehidupan di ladang gandum serta kegembiraan musim menuai.

Satu lagi kumpulan tarian kreatif yang sangat mencuri perhatian sejak awal pertandingan ialah Kerabat Tari 12 dari KK12 kerana keunikan kreativiti mereka menggunakan buluh, tempayan dan persembahan bertenaga dari awal hingga akhir. Kumpulan Muzik Akustik dan Pop Band dari kumpulan Trabala A dan B dari KK9 mengakhiri Malam Juara-juara tahun ini dengan muzik bertenaga dengan dua vokalis yang berganding dengan mantap.

FESENI 26 merupakan wadah memperkukuh kesenian dan intelektual dalam kalangan mahasiswa yang menzahirkan kreativiti dan keunikan tersendiri. Sejak dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan UM pada tahun 1975 sebagai Pesta Seni Pentas (PSP), ia diberi nama baharu sebagai Festival Seni Universiti Malaya pada tahun 1996 dan terus mekar menjadi acara terpenting di Universiti Malaya saban tahun.












