oleh: Mohd Raizol Ramli
Batu Kawan, 19 September – Semangat juang tinggi, disiplin serta keserasian padu menjadi kunci kejayaan utama buat Budiman UPSI Band, yang mewakili Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UPSI, apabila berjaya dinobatkan sebagai Juara Peringkat Kebangsaan dalam Pertandingan Battle of the Band yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN). Kemenangan manis ini sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 5,000.
Kumpulan yang dibentuk oleh tujuh gabungan pelajar daripada Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) UPSI — merangkumi seorang pelajar Diploma Muzik dan enam pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik (ISMP) — bertindak sebagai wakil KPDN Zon Tengah. Perjalanan mereka melakar sejarah tidak hadir dengan mudah apabila perlu melalui dua peringkat pertandingan yang sengit, bermula dari Peringkat Negeri hingga ke Peringkat Kebangsaan.
Di pentas akhir yang penuh berprestij, Budiman UPSI Band berentap dengan lima kumpulan hebat yang mewakili zon masing-masing, iaitu Zon Tengah, Zon Selatan, Zon Utara, Zon Pantai Timur, dan Borneo. Persembahan bertenaga dan penuh kreativiti yang ditampilkan berjaya mencuri hati para juri sekali gus menobatkan mereka sebagai juara keseluruhan.
Percaturan masa latihan yang singkat selama dua minggu — seminggu fokus kepada gubahan lagu dan seminggu lagi bagi memantapkan persembahan pentas — ternyata membuahkan hasil. Kejayaan ini turut didorong oleh komitmen padu serta sokongan padu pelbagai pihak di FMSP dan Kelab GPS.
Antara tulang belakang di sebalik kejayaan ini termasuklah barisan tenaga pengajar dan pelajar bagi gubahan muzik iaitu En. Muhammad Hairul Nazmi Muzaffar, En. Shakkir Latif, Shawn Lea, dan Simpson. Dari sudut pengurusan, latihan, serta sokongan instrumen, pasukan ini turut dibantu oleh Cik Monica Kong, Dr. Khalizul Khalid (Penyelaras GPS UPSI), Dr. Sajastanah Imam Konong (TD HEPA FMSP), En. Mui’zz Zuki, En. Anuar Borhan, Pn. Kartina Shahardin, serta Dr. Nazimin Nazeri.

Mengulas mengenai kejayaan berkenaan, Penasihat Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UPSI, Dr. Khalizul Khalid meluahkan rasa bangga atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh para pelajar:
“Kejayaan ini membuktikan bahawa ahli Kelab GPS UPSI bukan sahaja aktif dalam memperjuangkan kepenggunaan, malah berkeupayaan tinggi menzahirkan bakat seni di peringkat tertinggi. Disiplin, kesungguhan, dan kerjasama erat antara pelajar FMSP dan pihak pengurusan merupakan kunci utama kemenangan ini. Kami berharap kejayaan ini menjadi inspirasi buat seluruh warga UPSI untuk terus cemerlang dalam pelbagai bidang”, ujar beliau.
Sementara itu, wakil pasukan turut menambah bahawa latihan yang konsisten, chemistry, dan sokongan berterusan daripada FMSP serta Kelab GPS menjadi teras utama persembahan mantap mereka.
Mengenai perancangan hadiah wang tunai RM5,000 yang dimenangi, pihak kumpulan merancang untuk memanfaatkannya secara berhemah bagi meningkatkan kelengkapan muzik, keperluan latihan, serta persediaan persembahan pada masa akan datang. Sebahagian lagi akan diguna pakai untuk aktiviti pembangunan kemahiran ahli.

Bagi Muhammad Fazrin Fairus mewakili Budiman UPSI Band, kejayaan ini bukanlah titik akhir, sebaliknya merupakan pembakar semangat untuk terus melangkah lebih jauh.
“Kami tidak jadikan kemenangan ini sebagai alasan untuk kami berhenti, sebaliknya dijadikan sebagai motivasi untuk kami terus berlatih dan improve lagi. Masih banyak yang kami boleh belajar dan banyak lagi pentas yang kami boleh cuba. Kami sudah buktikan yang kami boleh menang, sekarang kami buktikan pula yang kami mampu kekal konsisten dan terus berkembang sebagai satu kumpulan,” katanya.
Menerusi perancangan masa hadapan, Budiman UPSI Band komited untuk terus menghasilkan karya dan gubahan lagu yang lebih kreatif, memperkemas identiti kumpulan, serta bersedia menggegarkan lebih banyak pentas muzik di peringkat yang lebih tinggi.













