
16 September 2026 | Rabu
Masjid UniSZA
“Adab Menuntut Ilmu: Membina Generasi Berilmu dan Berakhlak”
Minggu Mesra Siswa UniSZA diteruskan dengan pengisian kerohanian yang menyentuh hati menerusi Slot Kerohanian Minggu Mesra Siswa yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Haji Suhaimi bin Mohamad, Mantan Imam Besar Masjid UniSZA. Lebih 3000 pelajar telah hadir ke program ini.
Dalam ceramah bertajuk “Adab Menuntut Ilmu”, beliau mengingatkan para mahasiswa bahawa langkah pertama dalam menuntut ilmu ialah membetulkan niat semata-mata kerana Allah SWT. Ilmu yang dicari dengan niat yang benar bukan sahaja menjadi bekalan kejayaan di dunia, bahkan menjadi amal yang bernilai di sisi Allah SWT.
Para pelajar turut diingatkan agar sentiasa menjaga adab terhadap ilmu, guru, rakan serta institusi pengajian supaya ilmu yang dipelajari mendapat keberkatan dan memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan ummah.
Usai sesi ceramah, para mahasiswa bersama-sama menunaikan solat Isyak secara berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah al-Mulk, dalam suasana penuh ketenangan dan kebersamaan.

Sebagai tanda prihatin dan menyambut kehadiran para mahasiswa baharu, Pusat Islam UniSZA turut menyediakan minuman kepada para pelajar yang hadir.
Semoga pengisian ini menjadi titik awal kepada pembentukan mahasiswa UniSZA yang berilmu, beradab, berakhlak dan dekat dengan Allah SWT, selaras dengan aspirasi UniSZA dalam melahirkan generasi yang mampu menjadi pemimpin dan peneraju ummah pada masa hadapan.

“Ilmu tanpa adab boleh menjauhkan, ilmu dengan adab membawa keberkatan.”
Semoga setiap langkah menuntut ilmu dipermudahkan, diberkati dan menjadi amal soleh di sisi Allah SWT.















