oleh Suriati Ismail dan Mohd Raizol Ramli
TANJONG MALIM, 17 September – Di saat ribuan mahasiswa lena dibendung mimpi selepas penat menyertai minggu suai kenal, ada sepasang mata yang masih berjaga. Bagi barisan Felo Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tugas mereka tidak pernah tamat sebaik pejabat ditutup.
Kemasukan 1,555 pelajar baharu ke kolej berkenaan bukan sekadar rekod pendaftaran, sebaliknya membawa satu amanah besar yang digalas dengan penuh ikhlas. Di sebalik kemeriahan kampus, terselit pengorbanan sunyi para felo yang bersiap sedia melangkah keluar seawal pagi buta demi kesihatan anak-anak buah mereka.

Sama ada serangan gastrik, demam panas mahupun kecederaan mengejut, Felo KHAR tidak pernah berkira waktu. Berulang-alik dari kolej ke Klinik Kesihatan Tanjong Malim dan Hospital Slim River sudah menjadi rutin demi memastikan setiap pelajar selamat mendapatkan rawatan.
Ketua Felo KHAR, Dr. Ridhwan menegaskan, kebajikan pelajar adalah keutamaan yang tidak boleh kompromi.

“Apabila seorang pelajar sakit, kita jangan fikir tentang waktu bekerja atau waktu rehat. Yang penting, mereka selamat. Mereka jauh daripada ibu bapa, jadi kitalah yang perlu hadir sebagai orang pertama untuk mereka harapkan,” kata beliau.
Bagi pelajar yang memegang status anak perantau, bantuan kecil ini membawa makna yang amat besar. Rasa takut dan asing apabila ditimpa kesakitan terubat apabila melihat kelibat Felo yang sanggup menemani sehingga mereka kembali pulih ke dorm.

Dr. Ridhwan menambah, biarpun keletihan sering menyapa diri, kepuasan sebenar adalah apabila melihat raut wajah pelajar yang kembali sihat dan tersenyum.
“Setiap seorang daripada 1,555 pelajar ini ada keluarga yang menaruh harapan. Kita mungkin tidak boleh menggantikan ibu ayah mereka sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya mereka tahu bahawa apabila mereka susah, ada seseorang yang akan datang membantu,” jelasnya.
Kehidupan di kolej kediaman ternyata bukan sekadar tentang bilik, kuliah dan aktiviti kampus. Ia adalah mengenai sebuah ikatan kekeluargaan, kepedulian dan kasih sayang tanpa syarat. Suatu hari nanti, apabila para graduasi mengenang kembali perjalanan universiti mereka, mereka pasti akan ingat satu momen ringkas tetapi paling berharga: “Waktu aku sakit dulu, ada Felo yang datang menjaga.”

Itulah hakikat KHAR — bukan sekadar tempat tinggal, tetapi sebuah keluarga yang sentiasa wujud sewaktu diperlukan.













