Advertisement

Operasi Biodiversiti UTM tangani ikan invasif di Tasik UTM

Oleh : Zuraidah Isa

JOHOR BAHRU, 10 Sept. – Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) (JTNCHEPA), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama UTM Prihatin, UTM Marshall, Pusat Pelestarian Kampus, UTM Geotourism, Pusat OSHE UTM dan Jabatan Perikanan Negeri Johor menganjurkan Program Operasi Biodiversiti: Misi Menangkap Ikan Invasif dan Plogging di Tasik UTM bagi meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan pemeliharaan biodiversiti dan kelestarian ekosistem akuatik di kampus.

Program yang turut melibatkan pelajar UTM itu memberi tumpuan kepada usaha mengawal populasi spesies ikan invasif di Tasik UTM bagi membantu memelihara kualiti air serta kesinambungan spesies akuatik tempatan.

Pada masa sama, program berkenaan menggabungkan elemen pemuliharaan biodiversiti, pendidikan alam sekitar, gaya hidup sihat dan kebersihan komuniti dalam usaha membudayakan amalan kelestarian dalam kalangan warga UTM.

Program berkenaan dirasmikan Ketua Pentadbiran (HEPA), Mohd Herme Yusman Mohd Tahir. Dalam ucapannya, beliau menyeru peserta supaya memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab bersama bagi memastikan UTM bukan sahaja menjadi institusi pendidikan yang unggul, malah turut dikenali sebagai kampus yang bersih, hijau, sihat dan lestari.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran tetamu khas daripada Jabatan Perikanan Negeri Johor, termasuk Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan Negeri Johor, Mohd Rozhan Zakaria, Ketua Daerah Perikanan Johor Bahru/Kulai, Muhamad Idham Legiman serta beberapa orang staf jabatan berkenaan.

Mohd Herme Yusman Mohd Tahir merasmikan Program Operasi Biodiversiti: Misi Menangkap Ikan Invasif dan Plogging di Tasik UTM

Salah satu pengisian program adalah sesi pelepasan anak ikan sumbangan Jabatan Perikanan Negeri Johor, membabitkan 3,000 ekor ikan lampam dan 2,000 ekor ikan terbol ke Tasik UTM.

Sebanyak 15 beg plastik anak ikan lampam dan terbol dibekalkan oleh Jabatan Perikanan Negeri Johor untuk tujuan tersebut. Sesi pelepasan yang dilaksanakan itu turut memberi peluang kepada staf untuk terlibat secara langsung dalam usaha menambah populasi ikan tempatan di Tasik UTM.

Inisiatif berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha bersama untuk memelihara dan memperkaya biodiversiti perairan Tasik UTM, di samping menyokong penambahbaikan ekosistem akuatik di kawasan kampus.

Mohd Herme Yusman Mohd Tahir dan Mohd Rozhan Zakaria melepaskan anak ikan lampam dan terbol ke Tasik UTM

Bagi memperkukuh kefahaman peserta mengenai biodiversiti dan pemuliharaan sumber perairan, program turut disusuli dengan dua sesi perkongsian ilmu.

Sesi pertama bertajuk “Sains Warga & Keperluan Biodiversiti (Biokepelbagaian): Kaedah Ilmu Secara Alami” disampaikan oleh Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Fadhil Md Din. Perkongsian itu memberi pendedahan mengenai konsep biodiversiti yang merangkumi kepelbagaian hidupan dalam sesuatu kawasan atau ekosistem, termasuk kepelbagaian spesies, genetik dan ekosistem.

Dalam konteks Tasik UTM, pemahaman terhadap biodiversiti penting bagi menyokong usaha mengekalkan keseimbangan ekosistem, termasuk melalui pengurusan spesies ikan invasif.

Sementara itu, sesi kedua bertajuk “Kesedaran Larangan Ikan Asing & Program Konservasi Perairan Umum” disampaikan oleh Mohd Rozhan Zakaria, Ketua Cawangan Sumber Perikanan Tangkapan Negeri Johor. Perkongsian itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan memelihara ekosistem perairan serta meningkatkan kesedaran terhadap kesan kehadiran spesies ikan asing terhadap keseimbangan biodiversiti.

Mohd Rozhan Zakaria menyampaikan ceramah bertajuk “Kesedaran Larangan Ikan Asing dan Program Konservasi Perairan Umum”

Antara aktiviti utama program ialah Misi Menangkap Ikan Invasif yang disertai 36 orang staf. Bagi menjayakan aktiviti berkenaan, peserta menggunakan 13 unit pancing, lima unit jaring dan dua unit jala yang disumbangkan oleh staf.

Hasil aktiviti tersebut, sebanyak 40 ekor ikan bandaraya, 137 ekor ikan tilapia hitam, seekor ikan toman dan enam ekor ikan lampam berjaya ditangkap.

Peserta menunjukkan hasil tangkapan ikan asing dalam Misi Menangkap Ikan Invasif di Tasik UTM

Ikan yang berjaya ditangkap kemudiannya ditimbang bagi menentukan pemenang pertandingan berdasarkan jumlah berat tangkapan. Ikan asing yang ditangkap diasingkan untuk dilupuskan melalui kaedah penanaman, manakala ikan asli dilepaskan semula ke Tasik UTM.

Dalam pada itu, seramai 34 peserta menyertai aktiviti Brisk Walk & Plogging yang menggabungkan amalan gaya hidup sihat dengan usaha menjaga kebersihan persekitaran.

Aktiviti bermula dari Balai Keselamatan dan diteruskan hingga ke Pusat Kesihatan Universiti (PKU) sebelum peserta kembali semula ke Tasik UTM. Peserta turut dibekalkan dengan plastik untuk mengasingkan bahan yang dikutip mengikut kategori kertas, plastik, kaca dan logam.

Hasil aktiviti tersebut, sebanyak 12.61 kilogram (kg) plastik, 7.18 kg kertas, 8.10 kg kaca dan 3.01 kg logam berjaya dikumpulkan.

Peserta Brisk Walk dan Plogging bergambar bersama hasil kutipan bahan buangan

Selain aktiviti berkaitan biodiversiti dan kelestarian, penganjuran program dalam suasana ambang Bulan Kemerdekaan turut diserikan dengan pertandingan pakaian bertemakan Merdeka.

Bagi pertandingan tangkapan ikan invasif, Kumpulan 3 muncul juara selepas mencatat jumlah tangkapan ikan bandaraya sebanyak 12.31 kg melibatkan 11 ekor, manakala ikan tilapia hitam sebanyak 13.81 kg melibatkan 47 ekor.

Kumpulan 1 menduduki tempat kedua dengan tangkapan ikan bandaraya sebanyak 11.92 kg melibatkan 24 ekor dan ikan tilapia hitam sebanyak 11.59 kg melibatkan 45 ekor. Tempat ketiga pula dimenangi Kumpulan 2 dengan tangkapan ikan bandaraya sebanyak 8.19 kg melibatkan lima ekor dan ikan tilapia hitam sebanyak 8.15 kg melibatkan 45 ekor.

Bagi pertandingan kutipan bahan kitar semula, Kumpulan 1 muncul juara dengan kutipan sebanyak 17.57 kg, diikuti Kumpulan 3 di tempat kedua dengan 8.21 kg dan Kumpulan 2 di tempat ketiga dengan 5.12 kg.

Sementara itu, Jasmawati Jaafar dan Rizam Rahmat dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Pakaian Tema Merdeka. Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai bagi tempat pertama hingga ketiga sebagai penghargaan atas usaha dan pencapaian yang ditunjukkan sepanjang program.

Secara keseluruhannya, Program Operasi Biodiversiti menjadi platform yang menghimpunkan warga universiti, pelajar dan agensi berkaitan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan biodiversiti, pengurusan ekosistem akuatik, pengurusan sisa dan kelestarian alam sekitar.

Penganjuran program itu turut menyokong usaha UTM memperkukuh pembudayaan kelestarian di kampus selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 melalui penglibatan warga universiti dalam aktiviti yang menyumbang kepada persekitaran kampus yang lebih bersih, hijau dan lestari.