Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan & Siti Nur Idayu Alias
KUALA PERLIS, 20 Ogos 2026 – Impian untuk melanjutkan pengajian ke menara gading menjadi pembakar semangat buat Nurhamizah Binti Abdul Halim, biarpun perjalanan tersebut hadir bersama cabaran keluarga yang tidak mudah.
Nurhamizah, anak bongsu daripada tiga beradik, kini mengikuti Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi Sidang Akademik 2026/2027.

Bapanya bekerja sendiri sebagai penjual nira, manakala ibunya tidak dapat bekerja selepas mengalami strok. Dalam keadaan serba terbatas, keluarga tetap memberikan sokongan agar Nurhamizah dapat meneruskan pengajian dan mengejar cita-cita.
Menyedari cabaran yang dihadapi mahasiswa bukan semuanya dapat dilihat dari dalam kampus, UniMAP meneruskan inisiatif Ziarah Kasih Pelajar Baharu sebagai usaha mendekati mahasiswa dan keluarga, khususnya mereka yang memerlukan perhatian serta sokongan.
Kunjungan ke kediaman Nurhamizah diketuai oleh Dr. Wan Safuraa Wan Osman, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bersama barisan pegawai JHEP.

Kunjungan tersebut menjadi ruang untuk pihak universiti memahami keadaan keluarga, mendengar cabaran yang dihadapi serta memastikan Nurhamizah mendapat sokongan yang sewajarnya sepanjang meneruskan pengajian.
Bagi UniMAP, kebajikan mahasiswa bukan sekadar soal bantuan, tetapi tentang keprihatinan, empati dan kesediaan untuk hadir ketika mahasiswa memerlukan sokongan.
Kisah Nurhamizah mengingatkan bahawa di sebalik langkah seorang mahasiswa menuju kejayaan, ada pengorbanan keluarga yang menjadi kekuatan. Justeru, UniMAP akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif kebajikan agar setiap mahasiswa berpeluang mengejar impian tanpa rasa terpinggir.
UniMAP bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi ruang untuk mahasiswa disokong, disantuni dan diperkasa menuju masa depan.












