Advertisement

SIGMA 2026 PERKASA KEPIMPINAN MAHASISWA, CETUS ASPIRASI PEMIMPIN MASA HADAPAN

Oleh: Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah & Mohd Khairul Effendi Che Wan

PAUH PUTRA, 19 Ogos 2026 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh agenda pembangunan mahasiswa dengan menjadikan Simposium Agenda Pemerkasaan Mahasiswa Kebangsaan (SIGMA) 2026 sebagai wadah strategik dalam mencorakkan kepimpinan generasi muda yang berilmu, berintegriti dan bersedia menggalas tanggungjawab pada masa hadapan.

Menghimpunkan lebih 500 peserta daripada lebih 20 Universiti Awam (UA) serta beberapa institusi pendidikan tinggi lain, SIGMA 2026 menjadi medan pertemuan pemimpin mahasiswa dan pengurusan hal ehwal pelajar untuk berkongsi pengalaman, bertukar pandangan serta meneroka amalan terbaik dalam memperkasa kemenjadian mahasiswa.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata pembangunan mahasiswa tidak seharusnya hanya berteraskan pencapaian akademik, sebaliknya perlu disokong dengan pembentukan karakter, nilai kepimpinan dan keupayaan untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

Menurut beliau, pendekatan “otak dan watak” perlu terus diberi perhatian bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, malah mempunyai integriti, kemahiran komunikasi, keupayaan membuat keputusan, daya kepimpinan serta semangat kesukarelawanan yang tinggi.

“Mahasiswa hari ini merupakan aset penting kepada negara. Justeru, mereka perlu dipersiapkan bukan sahaja dengan ilmu, tetapi juga dengan karakter dan nilai yang membolehkan mereka memimpin, membuat keputusan serta membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Dalam konteks ini, SIGMA menjadi ruang penting untuk mahasiswa belajar daripada pengalaman, berkongsi idea dan membina jaringan kepimpinan yang mampu diteruskan selepas mereka melangkah keluar dari universiti,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan SIGMA 2026.

Menurut beliau, perkongsian yang berlangsung sepanjang SIGMA turut merangkumi aspek kepimpinan mahasiswa, kesukarelawanan, pembangunan sahsiah, keterlibatan komuniti dan pembinaan jaringan strategik, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama yang lebih luas antara institusi pendidikan tinggi.

Majlis berkenaan turut dihadiri Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kementerian Pendidikan Tinggi (BHEP KPT), Encik Hirman Awang, serta Pengerusi Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM) merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Raman Nordin.

Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), selain wakil daripada 4 Government-Linked Universities (GLU) iaitu Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) , Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Multimedia Universiti (MMU).

Pada majlis sama, turut dilancarkan Buku Kemenjadian Mahasiswa: Memanusiakan Manusia dalam Ekosistem Pendidikan Tinggi, yang menghimpunkan pelbagai pengalaman, pendekatan dan amalan terbaik UA dalam memperkasa pembangunan mahasiswa.

Penerbitan buku tersebut bukan sekadar menjadi dokumentasi, malah berperanan sebagai sumber perkongsian dan rujukan bersama bagi memperluas amalan terbaik dalam membentuk mahasiswa yang lebih holistik dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

SIGMA 2026 turut memperlihatkan bahawa pembangunan kepimpinan mahasiswa memerlukan pendekatan yang menyeluruh dan berterusan, dengan penglibatan aktif universiti, mahasiswa serta pelbagai pihak berkepentingan.

Lebih daripada sebuah simposium, SIGMA 2026 menjadi ruang mencetuskan idea, membina jaringan dan menyemai keberanian untuk memimpin serta membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu, tetapi turut kukuh dari segi karakter dan nilai.