oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM, 17 Ogos 2026 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil tindakan proaktif susulan isu keperluan bantuan membabitkan bakal pelajarnya, Lovely Sabana Augustine yang tular di media sosial baru-baru ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI Prof Dr Norkhalid Salimin berkata pihak universiti memandang serius perkara berkenaan dan telah menjalankan semakan serta mendapatkan maklumat secara langsung daripada bakal pelajar terbabit bagi memastikan bentuk bantuan yang diperlukan dikenal pasti dengan tepat.
“UPSI sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan bakal pelajar dan pelajar, khususnya mereka daripada keluarga berpendapatan rendah. Dalam kes Lovely, semakan mendapati beliau sememangnya bakal pelajar UPSI dan pihak universiti telah mengambil langkah awal bagi memastikan keperluan beliau untuk memulakan pengajian dapat diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.
Lovely Sabana, lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) dengan Kepujian di UPSI pada 15 Ogos 2026 dan dijadualkan mendaftar pada 12 September ini.

Menurut Norkhalid, hasil semakan mendapati Lovely berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan perkara itu turut diambil kira dalam pemantauan kebajikan bakal pelajar berkenaan.
“Pada masa ini, Lovely memaklumkan beliau telah membuat persediaan untuk mendaftar serta mempunyai RM1,500 bagi tujuan pembayaran yuran berkaitan pendaftaran dan pengajian. Keperluan utama yang dikenal pasti ialah komputer riba untuk menyokong pembelajaran serta pelaksanaan tugasan akademik.
Beliau berkata, pihak UPSI turut dimaklumkan bahawa seorang individu telah menyatakan kesediaan untuk menyumbangkan sebuah komputer riba kepada Lovely sebelum beliau mendaftar di universiti.
Sehubungan itu, katanya, UPSI akan terus memantau perkembangan bakal pelajar berkenaan bagi memastikan keperluan kebajikan dan pendidikan beliau dapat diselaraskan dengan sewajarnya.
Norkhalid berkata UPSI juga akan menyelaras bantuan yang bersesuaian dengan Yayasan Perkasa Siswa bagi membantu keperluan awal pendidikan tinggi Lovely.
“Selain itu, Lovely turut dipertimbangkan sebagai calon bagi Program Sulong yang merupakan antara usaha UPSI untuk memberikan sokongan kepada pelajar yang memerlukan, khususnya dalam memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dengan lebih baik,” katanya.

Lovely menetap bersama ibunya, Mek Kenui, di Tumpat, Kelantan. Ibunya yang berketurunan Siam bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah dengan pendapatan sekitar RM800 sebulan dan turut menjadi anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Bapanya yang berketurunan Kadazan dan merupakan bekas anggota tentera meninggal dunia pada 2017, manakala Lovely merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
Norkhalid berkata keadaan sosioekonomi keluarga Lovely menunjukkan beliau wajar terus diberikan perhatian dari aspek kebajikan dan sokongan pendidikan, termasuk selepas mendaftar dan memulakan pengajian di UPSI.
“UPSI tidak melihat isu ini hanya dari sudut bantuan sebelum pendaftaran, sebaliknya kebajikan dan keperluan pelajar akan terus dipantau sepanjang mereka berada di universiti supaya tiada pelajar tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan tinggi disebabkan kekangan kewangan,” katanya.












