Advertisement

Butang panik, Penyelamat nyawa

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mempertimbangkan pembangunan aplikasi pintar yang dilengkapi fungsi ‘butang panik’ bagi membolehkan penumpang bas ekspres dan persiaran melaporkan pemanduan berbahaya secara terus serta masa nyata.

Cadangan progresif itu dikemukakan oleh Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Darfizzi Derawi, susulan status keselamatan jalan raya negara yang masih berada pada tahap membimbangkan.

Menurut beliau, kes kemalangan tragis membabitkan kenderaan berat seperti bas dan lori akibat kecuaian serta pemanduan berbahaya sering menarik perhatian rakyat serta pihak berkuasa.

Mahasiswa pengguna utama bas ekspres

Walaupun Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan penguatkuasaan berkala oleh pihak polis serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilaksanakan, masih wujud kelompongan dalam aspek pemantauan tingkah laku pemandu secara masa nyata.

Antara aduan umum yang sering diterima melibatkan pemandu adalah memandu melebihi had laju, memandu secara agresif, menukar lorong secara melulu, serta faktor keletihan akibat tekanan jadual padat.

Sebagai individu yang paling hampir dan berpotensi tinggi mengesan tanda awal risiko, penumpang sayangnya tidak mempunyai saluran aduan kecemasan yang efisien dan pantas ketika insiden berlaku.

Melalui aplikasi ‘butang panik’ ini, ia bakal bertindak sebagai sistem kawalan risiko berasaskan teknologi untuk penumpang menghantar isyarat amaran kecemasan dengan segera.

Isyarat amaran boleh dicetuskan sekiranya penumpang mendapati pemandu mula menunjukkan tanda-tanda berbahaya seperti mengantuk atau hilang kawalan terhadap kenderaan.

Apabila butang tersebut ditekan, aplikasi secara automatik akan menghantar maklumat kritikal termasuk lokasi sistem kedudukan geografi (GPS) terkini, butiran bas, serta masa kejadian.

Sistem berkenaan turut menyediakan pilihan untuk memuat naik gambar atau video sebagai bukti tambahan, yang disepadukan terus dengan pusat kawalan wilayah.

Pusat kawalan tersebut dicadang dipantau bersama oleh agensi penguat kuasa seperti Polis, JPJ, dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi membolehkan unit peronda berhampiran memintas bas terbabit.

Langkah memperkukuh pemantauan secara masa nyata ini dipercayai mampu mendorong pemandu menjadi lebih berhemah, sekali gus meningkatkan keyakinan orang awam terhadap mutu pengangkutan awam negara.

Bagi mengatasi risiko penyalahgunaan atau aduan palsu, setiap pengguna diwajibkan mendaftar menggunakan maklumat peribadi yang sah, di samping penyediaan mod luar talian (data cache) untuk kawasan pedalaman.

Isu kos pembangunan pula boleh diselesaikan melalui kerjasama strategik antara kerajaan dan swasta, disusuli penganjuran pertandingan inovasi digital oleh Kementerian Pengangkutan bagi menghasilkan aplikasi yang berkualiti tinggi.