Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi
BANGKOK, 7 Ogos 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan keterlihatan mahasiswa di pentas antarabangsa apabila Amiratul ‘Ain binti Rahimi, Exco Perhubungan Luar dan Jaringan Antarabangsa, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Shah Alam, dipilih untuk menyampaikan ucapan penutup mewakili mahasiswa ASEAN dan Malaysia sempena 14th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2026 di Bangkok, Thailand.
Pemilihan tersebut merupakan satu pengiktirafan membanggakan terhadap keupayaan mahasiswa UiTM untuk tampil sebagai pemimpin muda yang berkeyakinan serta mampu membawa suara dan aspirasi generasi muda ASEAN di pentas antarabangsa.

USLS merupakan platform kepimpinan belia antarabangsa anjuran Humanitarian Affairs Asia yang menghimpunkan mahasiswa dan pemimpin muda daripada pelbagai negara bagi memperkukuh nilai kepimpinan, kemanusiaan, kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam mendepani cabaran global.
Lebih membanggakan, Amiratul ‘Ain bukan sahaja menyertai simposium tersebut sebagai delegasi UiTM, malah turut terpilih sebagai Jawatankuasa Urusetia dalam kalangan wakil negara ASEAN, sekali gus memberi peluang kepadanya memainkan peranan secara langsung sepanjang penganjuran program.
Kemuncak penglibatan beliau adalah apabila diberikan penghormatan untuk menyampaikan ucapan penutup mewakili mahasiswa ASEAN, membawa mesej kebersamaan, kepimpinan dan komitmen generasi muda untuk terus mencipta perubahan positif dalam komuniti masing-masing.

Dalam ucapannya, Amiratul ‘Ain menekankan bahawa pengalaman di USLS bukan sekadar pertemuan mahasiswa daripada pelbagai negara, tetapi menjadi ruang untuk membina kefahaman, persahabatan dan jaringan yang melangkaui sempadan budaya serta negara.
Beliau turut menyeru mahasiswa ASEAN agar membawa pulang semangat kemanusiaan dan kepimpinan yang diperoleh sepanjang simposium serta menterjemahkannya kepada tindakan nyata yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Janice Leong daripada Humanitarian Affairs Asia turut menyifatkan penglibatan pemimpin muda dalam USLS sebagai peluang penting untuk membentuk generasi yang bukan sahaja mempunyai keupayaan memimpin, tetapi turut memiliki nilai kemanusiaan dan kesediaan untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Young leaders have the potential to create meaningful change when they transform inspiration into action. We hope the experience gained through USLS will encourage them to serve their communities, build bridges across cultures and contribute towards a more compassionate world,” ujar Ms. Janice Leong, Humanitarian Affairs Asia.
Penglibatan Amiratul ‘Ain sepanjang USLS 2026 turut merangkumi program Kindness Day: Moments of Joy di Wat Samakkiyaram School, apabila beliau berperanan sebagai salah seorang ketua kumpulan bagi aktiviti luar bersama murid-murid dan delegasi antarabangsa.

Melalui aktiviti tersebut, beliau bertanggungjawab membimbing peserta, menyelaras perjalanan permainan serta memastikan murid-murid dan delegasi dapat berinteraksi dan mengambil bahagian secara aktif dalam suasana yang menyeronokkan dan inklusif.
Pencapaian Amiratul ‘Ain mencerminkan keupayaan mahasiswa UiTM untuk bukan sahaja mengambil bahagian dalam program antarabangsa, malah diberikan kepercayaan memegang peranan kepimpinan serta membawa suara mahasiswa ASEAN dalam platform yang menghimpunkan generasi muda dari seluruh dunia.
Pengalaman tersebut diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai mahasiswa UiTM untuk berani meneroka peluang antarabangsa, memperluas jaringan global serta menjadi pemimpin muda yang membawa nilai Usaha, Taqwa dan Mulia dalam memberi impak kepada masyarakat dan dunia.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh aspirasi UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing global, mempunyai kompetensi silang budaya dan mampu memainkan peranan sebagai duta universiti serta Malaysia di persada antarabangsa.












