Oleh: Mohd Azfar Syukri Yusien
PUTRAJAYA, 10 Ogos 2026 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Sesi 2025/2026 telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membentangkan cadangan berkaitan penambahbaikan dasar, tadbir urus, kebajikan dan pembangunan mahasiswa UiTM.

Delegasi MPP diketuai oleh Yang Dipertua MPP UiTM Sesi 2025/2026, Mohd Adib Hazim Mohamad Razali, dengan diiringi oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif Tertinggi MPP.
Delegasi tersebut telah disambut oleh Encik Akmal Zharif Ahmad Kamal, Setiausaha Politik kepada YB Menteri Pendidikan Tinggi, bersama Encik Wan Ahmad Rahiman Wan Abd Rahim, Pegawai Khas Menteri.
Sesi libat urus berkenaan menjadi platform kepada kepimpinan mahasiswa untuk menyampaikan pandangan, aspirasi dan cadangan berkaitan isu serta keperluan mahasiswa UiTM kepada pihak KPT.
Dalam sesi tersebut, MPP telah membentangkan Cadangan Penambahbaikan Dasar, Tadbir Urus, Kebajikan dan Pembangunan Mahasiswa Universiti Teknologi MARA yang menghimpunkan beberapa agenda berkaitan pengalaman dan pembangunan mahasiswa di kampus-kampus UiTM seluruh negara.
“Sebagai wakil mahasiswa, tanggungjawab kami bukan sekadar menyampaikan isu, tetapi turut mengemukakan cadangan yang konstruktif dan boleh dipertimbangkan bersama. Kami berharap suara mahasiswa terus diberikan ruang dalam usaha menambah baik dasar, kebajikan dan pembangunan mahasiswa, selaras dengan keperluan semasa pendidikan tinggi negara,” kata Adib.
Antara aspek yang diberikan perhatian termasuk pengukuhan peranan dan representasi mahasiswa, penambahbaikan tadbir urus, kebajikan dan perkhidmatan mahasiswa, peluang pembangunan serta pemerkasaan kepimpinan mahasiswa.
Cadangan yang dikemukakan turut mengambil kira skala dan jaringan kampus UiTM yang luas serta kepelbagaian keperluan mahasiswa mengikut lokasi dan persekitaran kampus. Pendekatan ini penting bagi memastikan penambahbaikan yang dilaksanakan mengambil kira keadaan dan keperluan sebenar mahasiswa.
Selain pembentangan cadangan, sesi tersebut turut membuka ruang kepada kepimpinan mahasiswa dan pihak KPT untuk bertukar pandangan mengenai perkara yang berkaitan dengan pembangunan mahasiswa serta peranan mahasiswa dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Sesi libat urus ini mencerminkan komitmen kepimpinan mahasiswa dalam membawa suara dan aspirasi mahasiswa melalui saluran yang konstruktif, selain memperkukuh hubungan serta komunikasi antara mahasiswa, universiti dan pihak kementerian.
MPP UiTM Se-Malaysia berharap cadangan yang dikemukakan dapat diberikan pertimbangan dan membuka ruang kepada penelitian serta libat urus lanjut bersama KPT dan pihak pengurusan UiTM dalam usaha memperkukuh kebajikan, pembangunan serta pengalaman mahasiswa secara menyeluruh.












