Advertisement

Mahasiswa USM Raih Tiga Pengiktirafan Utama ESG Global Young Leaders Summit 2026

Oleh : Alisha Sofea Muhd Hafeez, Bendahari Kehormat MPP USM, Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

UMT, TERENGGANU, 10 Ogos 2026 – Syabas dan tahniah buat delegasi kepimpinan mahasiswa Universiti Sains Malaysia yang terus mengharumkan nama university apabila mencipta kejayaan gemilang dengan merangkul tiga pengiktirafan utama menerusi ESG Global Young Leaders Summit 2026 yang berlangsung pada 5 hingga 10 Ogos 2026 di Universiti Malaysia Terengganu.

Delegasi USM yang terdiri daripada Muhammad Afiq Hasraf bin Hazly, NYDP 1, MPP USM, Alisha Sofea Muhd Hafeez, Bendahari Kehormat, MPP USM, Mohammad Abbas Isrun, Eksekutif Perhubungan Luar dan Antarabangsa, MPP USM, Muhammad Zafrul Rahizan, NYDP 1, Sekretariat Rakan Muda USM serta Finnie Felixcy Anak Sugu, NYDP 2, Sekretariat Rakan Muda USM, tampil cemerlang dalam kategori Governance apabila dinobatkan sebagai penerima Best Poster Award (Category Governance) dan Best Presenter Award (Category Governance).

Kedua-dua pengiktirafan tersebut diraih menerusi pembentangan yang menampilkan analisis kritikal, pendekatan strategik serta cadangan yang relevan dalam memperkukuh amalan tadbir urus mampan berteraskan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG), khususnya dalam aspek tadbir urus yang mampan, berintegriti dan berimpak.

Lebih membanggakan, Muhammad Zafrul Rahizan turut mencatatkan pencapaian tersendiri apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok Top 5 ESG Icons, sekali gus mengukuhkan lagi kecemerlangan delegasi USM serta memperlihatkan potensi mahasiswa sebagai pemimpin muda yang mampu menyerlah di peringkat antarabangsa.

ESG Global Young Leaders Summit 2026 anjuran UMT dengan kerjasama rakan strategik termasuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan RHB Islamic Bank merupakan program kepimpinan belia bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan seramai 150 pemimpin mahasiswa dengan memberi tumpuan kepada agenda tindakan iklim dan kelestarian.

Profesor Dr Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada delegasi mahasiswa atas kejayaan membanggakan tersebut, yang sekali gus mencerminkan kecemerlangan, daya kepimpinan serta potensi mahasiswa USM untuk terus menyerlah di persada antarabangsa.

Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga USM untuk terus memperkasa inovasi, memperkukuh jaringan kolaborasi dan melestarikan komuniti, selaras dengan aspirasi universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berintegriti, berfikiran strategik serta mampu membawa perubahan di peringkat global.

Untuk lebih banyak berita, ikuti kami di https://hepa.usm.my/