Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan
PAUH PUTRA, 7 Ogos 2026 – Kejayaan gemilang atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin, yang meraih pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik sebagai Ikon Sukan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Pelantikan tersebut merupakan penghargaan UniMAP terhadap pencapaian luar biasa Hafizuddin di pentas antarabangsa, selain memperkukuh usaha universiti dalam melahirkan serta membangunkan bakat sukan berprestasi tinggi.
Turut hadir ialah jurulatih beliau, Mohd Hanie Musa, yang menjadi individu penting dalam mencungkil dan membimbing bakat Hafizuddin sejak di peringkat awal menerusi Arena Angkat Berat SEMSIRA Perlis.
Surat pelantikan diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, dalam satu pertemuan bersama Hafizuddin di Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra, hari ini.

Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, pelantikan Hafizuddin sebagai Ikon Sukan UniMAP bukan sahaja satu pengiktirafan terhadap pencapaian beliau, malah merupakan usaha universiti untuk menjadikan atlet berjaya sebagai sumber inspirasi kepada warga kampus.
“Hafizuddin merupakan contoh terbaik bagaimana bakat yang dibangunkan secara berterusan dengan disiplin, kesungguhan dan bimbingan yang tepat mampu membawa seseorang atlet ke tahap antarabangsa.
“UniMAP berharap pengalaman, semangat juang dan perjalanan kejayaan beliau dapat dikongsikan bersama atlet universiti agar mereka lebih yakin, berdaya saing serta mempunyai aspirasi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan,” katanya.
Beliau berkata, UniMAP sentiasa komited dalam memperkukuh pembangunan sukan universiti dengan menyediakan ruang dan sokongan kepada mahasiswa yang mempunyai bakat serta potensi untuk berkembang sebagai atlet berprestasi tinggi.
“Pelantikan ini juga selaras dengan aspirasi UniMAP untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menyerlah dalam bidang kokurikulum dan sukan di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” katanya.
Dikenali sebagai “Badang Negeri Perlis”, Hafizuddin, 22, merupakan anak jati Perlis yang mula mencipta nama melalui Arena Angkat Berat SEMSIRA Perlis sebelum melangkah ke pentas kebangsaan dan antarabangsa.
Kejayaan terbaharu beliau di Sukan Komanwel Glasgow 2026 menyaksikan Hafizuddin berjaya meraih pingat emas dalam kategori 88 kilogram, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara atlet angkat berat muda negara yang disegani.
Sebelum ini, Hafizuddin turut mencipta sejarah apabila muncul juara SUKMA Sarawak 2024 serta memecahkan lapan rekod kebangsaan pada temasya tersebut. Beliau juga pernah menduduki tempat kelapan Kejohanan Angkat Berat Asia, memenangi pingat perak Kejohanan Angkat Berat Komanwel di India, selain meraih tempat keempat pada Sukan SEA Thailand 2025.
Sementara itu, Hafizuddin menyifatkan pelantikan sebagai Ikon Sukan UniMAP sebagai satu penghormatan yang amat bermakna dan berhasrat untuk berkongsi pengalaman serta memberi motivasi kepada atlet universiti.
“Saya berharap dapat berkongsi perjalanan dan pengalaman saya bersama atlet UniMAP supaya mereka terus percaya kepada kemampuan diri, sentiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian,” katanya.
Daripada Arena Angkat Berat SEMSIRA Perlis hingga ke pentas Sukan Komanwel Glasgow 2026, perjalanan Hafizuddin membuktikan bahawa pembangunan bakat secara konsisten, sokongan berterusan serta bimbingan jurulatih yang berdedikasi mampu melahirkan juara bertaraf dunia.
Pelantikan Hafizuddin sebagai Ikon Sukan UniMAP diharap menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga universiti untuk terus mengejar kecemerlangan dan mengharumkan nama UniMAP, Perlis serta Malaysia di persada antarabangsa.












