Advertisement

Mahasiswa UiTM Santuni Komuniti Bangkok Menerusi ‘Cook and Connect’ di USLS 2026

Oleh: Hairul Reazuan Asmayadi

BANGKOK, 6 Ogos 2026 – Wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM), Alisha Zahra binti Mohd Shah Noor, menyemarakkan semangat kesukarelawanan dan kemanusiaan menerusi penyertaan dalam program Cook and Connect sempena Kindness Day, 14th University Scholars Leadership Symposium (USLS) 2026 di Bangkok, Thailand.

Program yang berlangsung di Wat Chanpradittharam itu memberi peluang kepada delegasi antarabangsa untuk turun padang menyediakan makanan sebelum mengagihkannya kepada masyarakat setempat yang memerlukan. Program berkenaan merupakan sebahagian daripada pengisian Kindness Day yang membawa aspirasi untuk menterjemahkan nilai belas ihsan kepada tindakan dan khidmat kemasyarakatan.

Alisha Zahra yang merupakan Exco Kepimpinan dan Kesukarelawanan MPP UiTM Shah Alam bersama delegasi memulakan aktiviti dengan sesi taklimat sebelum peserta dibahagikan kepada enam kumpulan bagi melaksanakan tugasan penyediaan dan memasak makanan.

Suasana kerjasama dan semangat berpasukan jelas terserlah apabila peserta bersama-sama menyediakan beberapa hidangan, antaranya Pad Thai, spring roll, ayam goreng dan kari hijau. Aktiviti memasak secara langsung itu bukan sahaja menguji keupayaan peserta bekerjasama, malah mendekatkan mereka dengan budaya serta kehidupan komuniti tempatan.

Menurut panduan rasmi USLS 2026, aktiviti Cook and Connect dilaksanakan dengan kerjasama Scholars of Sustenance Foundation (SOS) Thailand dan memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu ketidakjaminan makanan bandar serta bagaimana inisiatif bantuan makanan dapat membantu komuniti yang memerlukan.

Selesai proses penyediaan dan memasak, Alisha bersama delegasi terlibat dalam pengagihan makanan kepada masyarakat setempat. Sebahagian makanan turut dihantar terus ke rumah penerima tertentu, sekali gus memberikan peluang kepada peserta melihat sendiri realiti kehidupan komuniti yang disantuni.

Interaksi secara langsung ketika pengagihan makanan menjadi antara pengalaman bermakna sepanjang program apabila peserta bukan sekadar menyediakan hidangan, tetapi berpeluang bertemu dan berkomunikasi dengan penerima. Panduan program turut menekankan bahawa hubungan melalui senyuman, sapaan dan perbualan bersama komuniti merupakan sebahagian penting daripada pengalaman Cook and Connect.

Program kemudiannya ditutup dengan Blessing Ceremony, yang menyaksikan warga emas menyampaikan penghargaan kepada para peserta atas kesudian mereka meluangkan masa menyediakan makanan dan menyantuni komuniti. Momen tersebut memberikan dimensi lebih mendalam kepada konsep kesukarelawanan apabila hubungan yang terbina melangkaui perbezaan negara, bahasa dan latar belakang.

Bagi Alisha, pengalaman tersebut memperlihatkan bahawa kepimpinan dan kesukarelawanan tidak hanya diterjemahkan melalui perancangan sesuatu program, sebaliknya memerlukan kesediaan untuk turun sendiri berkhidmat dan memahami keperluan masyarakat.

Janice Leong, Regional Director of Humanitarian Affairs Asia berkata penglibatan mahasiswa UiTM dalam aktiviti kemanusiaan di peringkat antarabangsa memberi nilai tambah yang besar dalam usaha universiti membentuk pemimpin mahasiswa yang mempunyai empati dan kepekaan sosial.

“Pengalaman seperti Cook and Connect mengajar mahasiswa bahawa kepimpinan bukan hanya tentang berada di hadapan, tetapi tentang kesediaan untuk turun bersama masyarakat, mendengar, memahami dan berkhidmat. Apabila mahasiswa sanggup menyediakan makanan dengan tangan mereka sendiri dan menyampaikannya kepada mereka yang memerlukan, di situlah nilai kepimpinan berteraskan kemanusiaan benar-benar diterjemahkan,” katanya.

Menurut beliau, pendedahan sedemikian juga membolehkan mahasiswa melihat isu kemasyarakatan daripada perspektif global, seterusnya membawa pulang pengalaman, nilai dan amalan terbaik untuk diterjemahkan dalam program kesukarelawanan di universiti serta komuniti di Malaysia.

Semangat itu bertepatan dengan mesej utama Cook and Connect yang mengangkat penyediaan dan perkongsian makanan sebagai medium untuk menyampaikan maruah, belas ihsan dan harapan, selain memberikan pengalaman kepada delegasi mengenai makna sebenar kepimpinan melalui khidmat kepada masyarakat.

Penyertaan Alisha Zahra dalam USLS 2026 sekali gus memperkukuh representasi mahasiswa UiTM di pentas antarabangsa serta mencerminkan aspirasi universiti untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja berdaya kepimpinan dan berpandangan global, tetapi turut memiliki jiwa kesukarelawanan, rasa ihsan dan kesediaan untuk memberi kembali kepada masyarakat.