Advertisement

Danish Iftikhar Lakar Sejarah, Sah Gelaran Antara Lapan Pelari Pecut Remaja Terbaik Dunia

oleh Mohd Raizol bin Ramli

OREGON 7 Ogos 2026– Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee, terus mencatat nama di persada antarabangsa apabila melakar sejarah tersendiri dengan menempatkan diri dalam kelompok pelari pecut remaja terbaik dunia pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 (B-20) 2026 di Oregon, Amerika Syarikat.

Hadir dengan persiapan rapi dan penuh tekad untuk memburu tiket ke pusingan akhir, atlet berusia 19 tahun itu cemerlang melepasi peringkat awal sebelum melangkah kemas ke pentas separuh akhir. Beliau menamatkan larian di tempat kedua saringan kedua menerusi catatan masa 10.36 saat, sekali gus mengesahkan slot automatik ke perlumbaan akhir di belakang pelari pecut Jamaica, Gary Card.

Aksi di pentas final menyaksikan bintang pelapis negara ini berentap sengit dengan barisan pelari pecut terpantas planet ini sebelum melengkapkan saingan di kedudukan kelapan keseluruhan menerusi catatan masa 10.44 saat. Pencapaian melangkah ke kelompok elit akhir Kejohanan Dunia B-20 itu membuktikan potensi luar biasa Danish untuk terus menjadi masa depan bagi arena pecut olahraga Malaysia di persada global.

Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee

Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI, menerusi hantaran penghargaan, merakamkan rasa bangga atas usaha berterusan universiti membudayakan semangat kecemerlangan sukan.

“Kejayaan atlet negara di pentas dunia ini adalah inspirasi besar. Syabas dan tahniah diucapkan kepada seluruh warga kerja UPSI terutama pasukan olahraga atas inisiatif, motivasi dan latihan berterusan yang menjadi pemangkin dan suntikan kepada atlet kita untuk terus mengharumkan nama Malaysia dan UPSI,” jelas kenyataan itu.

Kejayaan demi kejayaan atlet negara ini turut mendapat perhatian serta apresiasi tinggi daripada kepimpinan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang sentiasa komited menyokong kecemerlangan sukan tanah air menerusi pelbagai inisiatif termasuk penganjuran program berimpak tinggi seperti Program Malaysia Juara.

Senada dengan itu, Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI turut mendedikasikan penghargaan khas atas komitmen seluruh jawatankuasa program Malaysia Juara (MJ) dalam merancakkan program berkenaan.

“Usaha berterusan UPSI menerusi penganjuran Program MJ membuktikan peranan institusi pengajian tinggi bukan sahaja dalam aspek akademik, malah sebagai tunjang penggerak dalam menyatukan rakyat menyokong agenda sukan negara. Tahniah kepada Pusat Sukan, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan dan semua pihak yang menterjemahkan kejayaan ini dengan penuh dedikasi,” tambahnya.