Oleh: Priyadarshini A/P Saravanan
BATU PAHAT, 8 Julai – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan apabila seorang pelajarnya diberi kepercayaan mewakili universiti sebagai pembentang (speaker) dalam International Youth Program 2026 anjuran Universitas Kadiri, Indonesia yang berlangsung secara dalam talian pada 8 Julai lalu.
Penyertaan Saudari Priyadarshini A/P Saravanan, pelajar Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan mahasiswa UTHM di peringkat antarabangsa, malah memperlihatkan keupayaan universiti melahirkan graduan berdaya saing yang mampu menyumbang idea dan kepakaran dalam forum akademik global.

Program yang dianjurkan oleh Office of National and International Universitas Kadiri itu menghimpunkan mahasiswa daripada enam institusi pengajian tinggi di rantau Asia menerusi forum persidangan antarabangsa bertemakan “Youth Innovation and Global Collaboration for a Sustainable Future.”
International Youth Program 2026 diwujudkan sebagai platform strategik bagi mempertemukan mahasiswa daripada pelbagai negara dan bidang pengajian untuk berkongsi ilmu, bertukar pandangan serta membincangkan inovasi berkaitan teknologi, pendidikan, pembangunan mampan dan kepentingan kerjasama global dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Program berprestij itu melibatkan penyertaan institusi pengajian tinggi dari Malaysia, Indonesia, Filipina, India, Thailand dan Kemboja, iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universitas Kadiri, De La Salle University–Dasmariñas (Filipina), PERI Institute of Technology (India), Pathumthani University (Thailand) dan Phnom Penh International University (Kemboja).
Penyertaan pelbagai institusi dari rantau Asia telah mewujudkan suasana perbincangan yang dinamik menerusi perkongsian idea, pengalaman dan perspektif merentas budaya serta disiplin ilmu dalam usaha mencari penyelesaian terhadap pelbagai isu global yang semakin kompleks.
Majlis pembukaan program diserikan dengan ucaptama oleh Dr. Pamadya Vitasmoro, Ketua Unit Kerjasama Universitas Kadiri, yang menekankan kepentingan menyediakan ruang antarabangsa bagi memperluaskan perspektif global mahasiswa, meningkatkan kemahiran komunikasi rentas budaya serta membina jaringan akademik di peringkat antarabangsa.
Turut menyampaikan ucaptama ialah Dr. B. Magesh, Vice Principal merangkap Director of Internal Quality Assurance Cell (IQAC), PERI Institute of Technology, India, yang berkongsi pandangan mengenai kepentingan kualiti pendidikan, inovasi serta kerjasama strategik dalam melahirkan generasi muda yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan masyarakat global.

Sepanjang persidangan yang berlangsung selama tiga jam itu, para peserta membentangkan hasil kajian, idea dan inovasi mengikut bidang kepakaran masing-masing dengan memberi fokus kepada inovasi teknologi, pembangunan mampan, pendidikan serta peluang kerjasama antarabangsa sebagai pendekatan menangani cabaran dunia yang semakin mencabar.
Sesi forum yang dipandu oleh moderator Muhammad Maftukhan turut berlangsung secara interaktif dengan penyertaan aktif mahasiswa dari pelbagai negara yang berkongsi pandangan mengenai peranan generasi muda sebagai pemangkin kepada pembangunan masa depan yang lebih lestari.
Menurut Priyadarshini, penyertaannya dalam program tersebut merupakan satu pengalaman yang amat bermakna kerana membuka ruang untuk berkongsi idea dan pandangan di pentas antarabangsa di samping memperkukuh hubungan kerjasama serantau dalam kalangan belia.
Beliau berkata, pelbagai cabaran yang dihadapi negara-negara di rantau Asia dan ASEAN tidak seharusnya ditangani secara berasingan, sebaliknya memerlukan pendekatan kolaboratif yang merentasi sempadan bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan dan mampan.
“Program seperti ini menjadi platform terbaik untuk merapatkan jurang kerjasama antara belia, membina jaringan antarabangsa serta menggalakkan perkongsian idea dan kepakaran yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat serantau.
“Melalui kolaborasi ini, generasi muda berupaya membangunkan penyelesaian yang inovatif dan mampan bagi menangani cabaran yang bukan sahaja memberi kesan kepada sesebuah negara, malah kepada seluruh rantau ASEAN,” katanya.
Penyertaan mahasiswa UTHM dalam forum antarabangsa seperti International Youth Program 2026 membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan agenda pengantarabangsaan melalui penglibatan aktif mahasiswa di pentas global, sekali gus memperkukuh jaringan akademik, meningkatkan kebolehpasaran graduan serta melahirkan pemimpin muda yang mampu menyumbang kepada pembangunan lestari di peringkat serantau dan antarabangsa.













