Oleh: Mohd Faiz Zabri dan Nor Muhammad Hazim Mazuki
SINTOK, KEDAH, 26 Julai – Skuad memanah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membuktikan cengkaman padu mereka apabila beraja di Lapang Sasar Memanah Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini.
Dalam saingan Varsity Archery Championship Siri 1 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 26 Julai lalu, bintang memanah UPSI, Natasha Mohd Shahruddin, menjadi sebutan ramai selepas mempamerkan bidikan berbisa dengan mengutip tiga pingat emas secara keseluruhan!
Natasha menguasai saingan menerusi acara Compound Individual Wanita dan ER Individu. Tidak berhenti di situ, dia sekali lagi menunjukkan taring apabila membantu UPSI merangkul emas ketiga menerusi acara Compound Mixed Team.

Kecemerlangan itu diteruskan lagi oleh gandingan mantap acara Compound Men Team yang turut menghadiahkan satu lagi emas, sekali gus melengkapkan dompet kejuaraan UPSI dengan 4 emas, 1 perak, dan 1 gangsa.
Pingat perak didapati menerusi acara Compound Women Team, manakala pingat gangsa pula disumbangkan oleh skuad Recurve Mixed Team.
Mengulas mengenai kejayaan manis ini, Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI menyuarakan rasa bangga dan gembira atas komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh kontinjen universiti.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Natasha serta seluruh warga pasukan memanah UPSI. Kejayaan membawa pulang empat pingat emas ini adalah bukti nyata bahawa atlet kita bukan sahaja berbakat, malah mempunyai disiplin dan semangat juang yang sangat tinggi.
“Di pihak pengurusan UPSI, kami sentiasa komited menyediakan ekosistem sokongan yang terbaik daripada segi kebajikan, fasiliti latihan, hingga ke sokongan moral. Kami mahu para atlet fokus memberikan yang terbaik di lapang sasar tanpa sebarang keraguan. Kejayaan ini adalah hasil kerja keras bersama antara atlet, jurulatih, dan barisan pegawai.” ujar beliau.

Kejohanan siri pertama ini menjadi ‘medan pemanas badan’ yang sangat berguna buat skuad memanah UPSI dalam menguji strategi dan menilai tahap ketajaman bidikan sebelum turun ke temasya yang lebih besar iaitu Temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Ke-7 (SUKIPT 7 2026) yang akan berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Menjelang temasya berprestij itu, fokus utama pasukan adalah untuk memperkemaskan konsistensi teknik, membina ketahanan mental yang kukuh, serta memantapkan keserasian dalam acara berpasukan.
Syabas buat seluruh wira dan wirawati memanah UPSI! Teruskan momentum cemerlang ini untuk memburu lebih banyak kejayaan di pentas akan datang.
“Impossible Is Nothing!”












