oleh Ihsan Noorzali
Tanjong Malim 29 Julai – Pencapaian unggul pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di pentas Kejohanan Dunia Adobe Certified Professional (ACP) yang berlangsung di Anaheim, California, Amerika Syarikat semalam amat membanggakan negara.
Muhammad Fawwaz Haiqal Mohd Fuaad dari Fakulti Komputeran dan META Teknologi (META) UPSI telah meraih tempat ketiga keseluruhan dari 203 peserta dari 45 buah negara.
Muhammad Fawwaz yang menerima hadiah wang tunai USD 2,000 adalah pelajar program Pendidikan (Teknologi Maklumat) menawan pentas pertandingan Adobe Certified Professional World Championship anjuran Certiport International yang berprestij serta menguji kemahiran peserta dalam mereka bentuk poster kreatif menggunakan Adobe Photoshop, Illustrator dan InDesign.

Kejayaan cemerlang Muhammad Fawwaz Haiqal ini turut didukung oleh bimbingan Encik Ahmad Nurzid Rosli dari Jabatan Sains Komputer dan Teknologi Digital, Fakulti META.
Naib Canselor UPSI, Prof Dato Dr Md Amin Md Taff berkata bahawa pencapaian Muhammad Fawwaz, bukan sahaja menyerlahkan keupayaan luar biasanya dalam pertandingan ini, malah turut mengangkat nama UPSI & Malaysia sebagai lubuk bakat digital bertaraf dunia.
” UPSI akan terus melahirkan bakat digital bertaraf antarabangsa melalui latihan dan pensijilan profesional, manakala di peringkat negara.
“Kami berharap lebih banyak institusi bersama-sama memperkukuh pembangunan bakat digital demi menjadikan Malaysia sebagai antara peneraju kreativiti dan inovasi digital di rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.
*Natalie Sit, selaku Pengurus Kontingen Malaysia menyifatkan bahawa edisi tahun 2026 merupakan pencapaian terbaik bagi kontingen Malaysia. Buat pertama kalinya Malaysia telah meraih tiga anugerah utama iaitu tempat ketiga yang dimenangi oleh Muhd Fawwaz dan juga tempat keempat dan People’s Choice Awards yang dimenangi oleh Muhammad Nafiz Asyraaf Mohd Nazrin dari Universiti Teknologi Mara, Sarawak.
Ini adalah tahun ke-lima Kontingen Malaysia mencatatkan keputusan podium di Kejohanan Dunia ACP yang amat berprestij ini.












