Advertisement

UUM Bantu Pelajar Kemalangan: Serah Katil Elektrik

PENDANG – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menunjukkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan warganya menerusi penyerahan sumbangan katil elektrik kepada pelajar Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Nur Aleeya Khairani Ahmad Shukri di kediamannya di Kampung Kubang Pisang, semalam.

Sumbangan berkenaan disampaikan secara terus oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri.

Katil elektrik sumbangan wakaf daripada firma guaman Anissa & Marina Advocates & Solicitors itu bertujuan memudahkan urusan penjagaan serta memberikan keselesaan optimum kepada Nur Aleeya sepanjang proses pemulihannya di rumah.

Di sebalik ujian fizikal yang dihadapi, Nur Aleeya menunjukkan semangat juang yang tinggi dengan meluangkan masa membaca sepanjang tempoh pemulihan, di samping menzahirkan keinginan kuat untuk kembali meneruskan pengajian dan mengejar cita-citanya.

Nur Aleeya Khairani Ahmad Shukri

Menerusi kunjungan tersebut, beliau bersama ibu bapanya dilihat semakin ceria dan bersemangat. Perkembangan kesihatannya juga menunjukkan petanda positif apabila keadaannya semakin pulih dari semasa ke semasa.

Selain peralatan sokongan perubatan, pihak universiti turut menyampaikan sumbangan bekalan makanan dan barangan keperluan harian kepada keluarga beliau sebagai tanda keprihatinan.

Untuk rekod, Nur Aleeya sebelum ini mendapat perhatian ramai selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada 31 Januari lalu ketika dalam perjalanan pulang ke kampus, yang menyebabkan beliau mengalami kecederaan parah pada saraf tunjang sehingga terpaksa menjalani rawatan rapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Perkembangan positif ini memberikan sinar harapan baharu kepada keluarga pelajar berkenaan serta seluruh warga UUM yang sentiasa mendoakan kesembuhannya. Pihak universiti menegaskan sokongan berterusan akan terus diberikan bagi memastikan proses pemulihan Nur Aleeya berjalan lancar sehingga beliau dapat kembali bergraduasi.