Oleh: Norul Hanizan binti Hazin
Pulau Bidong, 28 Julai 2026 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Pusat Alumni, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) telah menganjurkan Program Warisan Biru Bidong: Pemulihan Terumbu Karang dan Lestari Penyu pada 27 dan 28 Julai 2026 di Stesen Penyelidikan Alami Marin Pulau Bidong, Terengganu.
Program ini merupakan antara pengisian utama sempena Sambutan Hari Alumni UMT pada 26 Julai 2026 bersempena 25 Tahun Jubli Perak UMT. Penganjurannya menghimpunkan alumni, pensyarah, pelajar serta agensi strategik dalam usaha memperkukuh pemuliharaan ekosistem marin dan mengeratkan hubungan alumni dengan alma mater melalui aktiviti kesukarelawanan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Encik Pang Anak Nyukang, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, yang turut menyertai gimik perasmian melalui aktiviti mengikat fragmen karang pada kerangka restorasi sebelum turun menyelam bersama 20 orang penyelam bagi melaksanakan kerja-kerja pemulihan terumbu karang di hadapan stesen penyelidikan tersebut.

Sepanjang program berlangsung, peserta melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk pemasangan kerangka restorasi dan pemindahan fragmen karang, pembersihan dasar laut dan pantai, Program Lestari Penyu serta sesi perkongsian ilmu mengenai biodiversiti marin dan kepentingan pemuliharaan sumber laut. Program ini turut menjadi platform memperkukuh kerjasama antara UMT, alumni dan agensi strategik dalam menyokong agenda kelestarian alam sekitar.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Terengganu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Noor Arfa Batik serta rakan-rakan industri lainnya.

Dalam ucapannya, Encik Pang Anak Nyukang berkata usaha memulihara ekosistem marin memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak dan tidak boleh digalas oleh agensi kerajaan semata-mata.
“Program seperti Warisan Biru Bidong membuktikan bahawa pemuliharaan marin akan lebih berkesan apabila institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, industri, alumni dan masyarakat berganding bahu. Saya berharap lebih ramai alumni serta generasi muda tampil menyumbang kepakaran dan tenaga dalam memastikan terumbu karang, habitat penyu dan biodiversiti marin negara terus dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.
Program Warisan Biru Bidong turut menyokong aspirasi Pelan Strategik Universiti Malaysia Terengganu 2023–2027serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs), khususnya SDG 14 (Life Below Water), SDG 13 (Climate Action), SDG 4 (Quality Education) dan SDG 17 (Partnerships for the Goals).












