Oleh: Aniq Aiman Hairulbadrishah
KUALA NERUS, 28 Jun 2026: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranannya dalam pembangunan modal insan negara apabila mewujudkan rangkaian 12 Sekolah Angkat STEM UMT sekali gus memperluaskan usaha membudayakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah.
Inisiatif itu dimeterai menerusi Majlis Pewatikahan Sekolah Angkat STEM UMT yang diadakan sempena Majlis Perasmian Penutup Karnival 25 Tahun UMT bersempena Sambutan Jubli Perak universiti itu di Dewan Sultan Mizan, hari ini.
Naib Canselor UMT berkata, kolaborasi strategik antara universiti dan sekolah merupakan langkah penting dalam melahirkan generasi muda yang memiliki pengetahuan, kemahiran serta minat mendalam terhadap bidang STEM bagi menyokong aspirasi negara melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
“Majlis pewatikahan ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara UMT dan sekolah dalam membangunkan bakat muda negara. Saya yakin kedua-dua pihak akan memperoleh manfaat bersama melalui pelbagai program akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan pelajar yang akan dilaksanakan selepas ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival 25 Tahun UMT yang telah berlangsung selama empat hari bermula 25 Jun 2026 lalu.

Katanya, sebagai universiti yang menerajui agenda ekonomi biru negara, UMT bukan sahaja memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik dan penyelidikan, malah turut berperanan membangunkan bakat masa depan melalui jaringan kerjasama bersama sekolah, komuniti, industri dan agensi kerajaan.
Ujarnya, sepanjang 25 tahun penubuhannya, UMT berkembang daripada Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (KUSTEM) kepada sebuah universiti berimpak global yang menerajui bidang marin, perikanan, akuakultur dan kelestarian lautan.
Menurutnya, perkembangan itu turut disokong pelbagai pengiktirafan antarabangsa yang membuktikan kecemerlangan universiti dalam bidang akademik, penyelidikan dan kelestarian.

Antara pencapaian terkini UMT ialah berada pada kedudukan 701–710 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings, selain melonjak ke kelompok 201–300 dunia dalam Times Higher Education (THE) Impact Rankings. Universiti itu juga memperoleh penarafan lima bintang MyMOHES bagi kategori kualiti data dengan skor 100 peratus bagi tahun 2025.
Beliau berkata, sambutan ulang tahun ke-25 UMT akan terus berlangsung sepanjang tahun ini menerusi pelbagai program yang bukan sahaja meraikan sejarah penubuhan universiti, malah memperkukuh peranan UMT sebagai institusi pendidikan tinggi yang berdaya saing, berimpak antarabangsa dan sentiasa dekat dengan masyarakat.












