
Oleh: Aliah Amanina
PORT DICKSON, 22 Jun – Seramai 11 orang pelajar protege bersama dua orang ahli Majlis Pelajar Luar Kampus (MPLK) telah berjaya mengharungi Kem Kepimpinan Protege MPLK 2026 yang berlangsung baru-baru ini.

Aktiviti berkayak Protege MPLK
Program kepimpinan tersebut telah diadakan dengan jayanya di International Institute of Aquaculture and Aquatic Sciences (I-AQUAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 20 dan 21 Jun 2026 yang lepas.
Objektif utama kem ini adalah untuk membina jati diri dan semangat kerjasama yang jitu dalam kalangan pelajar luar kampus yang menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin pelajar.
Majlis pembukaan kem tersebut telah disempurnakan oleh staf daripada Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) yang memberikan taklimat awal serta kata alu-aluan kepada semua peserta.
Suasana di I-AQUAS UPM yang terletak di pesisir pantai Port Dickson memberikan ruang yang sangat kondusif bagi pelaksanaan aktiviti luar yang mencabar.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah dengan mempelajari cara pembuatan jamung secara tradisional bagi memupuk nilai kreativiti dan kerjasama dalam kumpulan.
Keunikan kem ini diteruskan lagi dengan sesi ‘Moonlight Sonata‘ pada waktu malam yang memberi peluang kepada para peserta untuk bermuhasabah dan mengeratkan ukhuwah sesama mereka.
Memasuki hari kedua, semua protege dan ahli MPLK diuji dengan aktiviti ‘water confidence‘ bagi membina keberanian serta ketahanan mental ketika berada di dalam air.
Aktiviti diteruskan dengan sesi berkayak di sekitar perairan I-AQUAS yang menuntut koordinasi fizikal serta semangat komunikasi yang berkesan antara pasangan.
Kehadiran Pengetua Luar Kampus, Prof. Dr. Mohd Azidan bin Abdul Jabar pada hari kedua telah memberikan impak yang sangat besar kepada moral seluruh peserta kem.
Beliau telah meluangkan masa untuk memberikan kata-kata semangat serta amanat agar para protege sentiasa kental dalam memimpin rakan mahasiswa di luar kampus.
Amanat daripada beliau menekankan betapa pentingnya peranan pemimpin pelajar dalam memastikan kebajikan mahasiswa luar kampus sentiasa terjaga dan mendapat perhatian sewajarnya.
Gabungan aktiviti lasak di air dan sesi perkongsian ilmu tersebut telah berjaya membentuk satu identiti kepimpinan yang baharu dalam kalangan peserta yang hadir.
Pihak penganjur menzahirkan rasa syukur kerana program dapat dilaksanakan dengan lancar serta mencapai matlamat yang telah ditetapkan tanpa sebarang halangan.
Kem Kepimpinan Protege MPLK 2026 ini berakhir dengan semangat baharu untuk terus komited berkhidmat kepada warga universiti.












